20 Polis Bantuan MBSP terima Pingat Kebaktian daripada Ketua Polis Negeri

SEBERANG JAYA – 20 anggota Polis Bantuan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menerima Pingat Kebaktian daripada Ketua Polis Negeri, Pesuruhjaya Polis (CP) Dato’ T. Narenasagaran dalam suatu majlis istiadat penganugerahan di Menara MBSP pagi ini.

Ketika berucap, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berharap dengan penganugerahan pingat tersebut dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan badan penguatkuasaan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

SR. Rozali Mohamud.

“Polis Bantuan MBSP hendaklah meningkatkan mutu perkhidmatan secara menyeluruh serta meningkatkan semangat jati diri serta disiplin melalui latihan dan pematuhan pada peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujar Rozali dalam Majlis Penganugerahan Pingat Pegawai dan Anggota Polis Bantuan MBSP dekat sini.

Turut serta, Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmud; barisan Ahli Majlis MBSP; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Negeri (Perancangan Strategik PDRM), Zundin Mahmood; dan Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Supt. Mohd. Mustafa Bidin.

Rozali memberitahu dengan mengambil kira kawasan pentadbiran ketiga-tiga daerah Seberang Perai Utara (SPU), SPT dan Seberang Perai Selatan (SPS), MBSP berharap hasrat menambah bilangan anggota Polis Bantuan dapat dipertimbangkan oleh PDRM.

Difahamkan, antara tugas anggota Polis Bantuan MBSP adalah memantau dan menjaga keselamatan aset PBT berkenaan bernilai kira-kira RM1,372,259,161.77 daripada pencerobohan, kehilangan, kerosakan dan sebagainya.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD