200 pelajar DUN Seri Delima terima baucar pakaian seragam sekolah

SERI DELIMA – Sungguhpun terpaksa berdepan normal baharu, namun Pemberian Bantuan Pakaian Seragam Sekolah KADUN (Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri) Seri Delima tetap diadakan menjelang sesi persekolahan 2021.

 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid, untuk program tersebut pihaknya bersama pejabat Ahli Parlimen Bukit Gelugor memperuntukkan RM10,800 bagi pembekalan set seragam sekolah berbentuk baucar kepada 200 pelajar di DUN tersebut.

 

“Ramai antara ibu bapa berharap agar pandemik COVID-19 ini dapat dikawal seterusnya sesi persekolahan akan dijalankan semula secara fizikal.

 

“Kebiasaannya kita akan adakan pemberian ini secara sekaligus namun normal baharu membuatkan kita terpaksa ubah program ini melalui penyampaian mengikut MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) setempat,” ujar beliau ketika menyampaikan sumbangan untuk DUN Seri Delima peringkat MPKK Taman Tun Sardon baru-baru ini.

 

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Penghulu bagi Kawasan Bukit Gelugor, Nasrizal Nasib.

 

Menyentuh mengenai perancangan di Seri Delima, Syerleena berkata beberapa projek naik taraf gelanggang, penurapan jalan sedang dijalankan dalam menambah baik kemudahan infrastruktur.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING