200 terima ‘baucar Aidilfitri’ Ketua Menteri

KETUA Menteri (berdiri, depan) diiringi Lau Leng Ee (berdiri, belakang) menyampaikan baucer Aidilfitri dalam majlis berkaitan di sini tadi.

GEORGE TOWN – Seramai 200 penerima daripada kelompok isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) sekitar kawasan Parlimen Tanjong pada petang ini menerima sumbangan baucar Aidilfitri daripada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota memberitahu bahawa dengan RM40,000 peruntukan berwajib itu, adalah diharapkan sedikit sebanyak memberi keceriaan kepada para penerima sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Sumbangan hari ini diberikan kepada 50 penerima sahaja sementara baki (seramai 150 baucar Aidilfitri) diagihkan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Pusat Khidmat (Ahli Parlimen Tanjong).

“Baucar bernilai RM200 ini boleh ditebus di Pasar Raya Mydin dan adalah diharapkan sumbangan ini dapat memberikan sedikit keceriaan serta meringankan beban golongan berkaitan,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi di sini pada 28 April 2022.

Pengarah Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tanjong, Lau Keng Ee dan Pengerusi MPKK Jalan Transfer dan Jalan Argyll / Jalan Transfer, Mak Tong Lee turut sertai majlis tersebut.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut mengingatkan semua pihak supaya terus menjaga kesihatan diri dan keluarga sepanjang musim perayaan memandangkan negara belum benar-benar bebas daripada wabak COVID-19, sungguhpun beberapa prosedur operasi standard (SOP) tertentu akan dilonggarkan mulai 1 Mei 2022.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS