200 terima sumbangan SSPN Prime, Ketua Menteri anggap peranan PTPTN signifikan

KETUA Menteri (berdiri, empat dari kiri) diiringi Sim Tze Tzin (berdiri, lima dari kiri) dan Muhammad Muhsin Abdul Rahman (berdiri, tiga dari kiri) merakamkan gambar dengan beberapa penerima sumbangan duit bantuan dalam bentuk akaun SSPN Prime semasa Majlis Rumah Terbuka ADUN Pantai Jerejak di sini pada 28 April 2023.

PANTAI JEREJAK – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak hari ini menyumbang sejumlah RM10,000 atau RM50 seorang dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime kepada 200 pelajar terpilih peringkat lokal.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa produk kewangan seumpama SSPN Prime tersebut sedikit sebanyak mengubah persepsi umum yang mana bukan sekadar memberi pinjaman pendidikan semata-mata, malah turut membantu kelompok pelajar terpilih.

KETUA Menteri

Beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Rumah Terbuka ADUN Pantai Jerejak di kawasan lapang bersebelahan Pasar Raya Giant Bayan Baru di sini pada 28 April 2023.

“Saya melihat sumbangan dan jasa PTPTN terhadap pembangunan pendidikan adalah amat signifikan… (yang mana) peranan serta fungsi PTPTN bukan semata-mata memberi pinjaman malah juga membantu pelajar,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

SUASANA Majlis Rumah Terbuka ADUN Pantai Jerejak yang dihadiri oleh Ketua Menteri dan barisan pemimpin Kerajaan Negeri lain.

Tambah beliau, majlis pada hari ini bertambah maknanya kerana dianjurkan serentak dengan Majlis Pelancaran Pusat Penang2030 KADUN Pantai Jerejak.

“Setakat ini, sebanyak 22 Pusat Penang2030 telah mula beroperasi di negeri ini (yang mana) sasaran kita (Kerajaan Negeri) sudah semestinya kesemua 40 KADUN mempunyai Pusat Penang2030 di kawasan masing-masing,” ujarnya.

KETUA Menteri (tengah) menyerahkan kad plakad berkaitan kepada Sim Tze Tzin (empat dari kiri) sebagai gimik pelancaran Pusat Penang2030 KADUN Pantai Jerejak di sini tadi.
KETUA Menteri diiringi barisan pemimpin Kerajaan Negeri lain menyampaikan replika bantuan sumbangan di bawah Program Peningkatan & Pemulihan Ekonomi kepada salah seorang penerima di sini tadi.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa pentadbirannya bagi tahun 2023 memperuntukkan sejumlah RM1.66 juta bagi menjayakan Program Peningkatan & Pemulihan Ekonomi (Bantuan Peralatan).

“Program (Peningkatan & Pemulihan Ekonomi – Bantuan Peralatan) yang diperkenalkan sejak tahun 2008 berkaitan adalah bertujuan membantu peniaga kecil mengembangkan perniagaan, meningkatkan jumlah penghasilan atau produktiviti dan seterusnya meningkatkan taraf hidup.

“Pada hari ini, di bawah Program Peningkatan & Pemulihan Ekonomi (Bantuan Peralatan), seramai dua usahawan bakal menerima bantuan berkaitan,’’ ulasnya.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin turut berucap mewakili Datuk Seri Saifuddin Nasution yang merupakan ADUN Pantai Jerejak dan juga Menteri Dalam Negeri.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I merangkap ADUN Pinang Tunggal, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain yang juga ADUN Batu Maung; beberapa ADUN Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang; Pegawai Daerah Barat Daya, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri dan Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri (PPN) Pulau Pinang, Muhammad Muhsin  Abdul Rahman.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : SIEW CHIA EN