20,000 pek bekalan makanan asas diedar kepada golongan miskin minggu depan – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri akan mengedarkan 20,000 pek bekalan makanan asas kepada golongan miskin di negeri ini bermula minggu hadapan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa keutamaan adalah diberikan kepada golongan sasar terdiri daripada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agenda Ekonomi Saksama (AES) serta penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan kos rendah.

Tambah beliau, mana-mana individu atau keluarga miskin yang telah dikenal pasti oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan masing-masing turut layak menerima bantuan tersebut.

“Barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan bantuan makanan asas seperti beras, tepung gandum, minyak masak, mi, biskut, minuman coklat, gula dan makanan dalam tin untuk diedarkan kepada rakyat yang memerlukan di negeri ini.

“Sistem pengagihan makanan berpusat ini akan dipantau dari semasa ke semasa bagi tujuan penambahbaikan,” katanya ketika ucapan siaran langsung menerusi laman Facebook peribadi beliau di sini sebentar tadi.

Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri juga telah mengagihkan pelitup muka kepada rakyat di negeri ini melalui ADUN masing-masing.

“Setakat ini, setiap ADUN telah diberikan 2,000 pelitup muka untuk diagihkan kepada rakyat di kawasan masing-masing.

“Kita juga telah mengagihkan pelitup muka, sarung tangan dan termometer inframerah kepada pasukan barisan hadapan.

“Justeru, saya akan memastikan lebih banyak lagi pelitup muka disumbangkan kepada pasukan barisan hadapan serta rakyat secara amnya apabila bekalan seterusnya sampai kelak,’ jelasnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri juga akan mengumumkan perincian bantuan bagi peniaga dan usahawa melalui Skim Pinjaman Kelangsungan Perniagaan Pulau Pinang pada 7 April ini.

“Saya tahu bahawa ramai peniaga dan usahawan sedang menanti pengumuman lanjut mengenai skim ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terutamanya wakil rakyat di negeri ini yang menonjolkan kepimpinan cemerlang sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walaupun pusat khidmat wakil rakyat ditutup bagi mematuhi PKP tetapi wakil-wakil rakyat, ahli-ahli bagi Majlis Bandaraya, ahli-ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) dan lain-lain tidak pernah berhenti memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Saya memerhatikan bahawa mereka turun padang untuk memastikan orang ramai mematuhi langkah-langkah kesihatan awam seperti penjarakan sosial, penggunaan pensanitasi tangan (hand sanitizer) dan sebagainya,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD