2019-nCoV, Kerajaan Negeri senantiasa peka

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri akan mengikut segala arahan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung wabak Novel Coronavirus (2019-nCoV) ketika ini.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow, pihak Kerajaan Negeri senantiasa peka tentang kerisauan rakyat tentang virus yang sedang melanda dunia kini.

“Kita akan sentiasa mematuhi arahan KKM yang membuat peraturan dan langkah-langkah perlu diambil.

“Saya berharap semua berjalan dengan baik (sambutan Thaipusam), dan setelah habis minggu ini, maka acara-acara besar boleh dikatakan sudah habis.

“Walau bagaimanapun, kita (Kerajaan Negeri) akan terus memantau keadaan ini, dan sekiranya perlu mengumumkan pembatalan apa-apa acara seterusnya, kita (Kerajaan Negeri) akan mengikut arahan Kementerian Kesihatan yang memang ada kepakaran dalam menentukan perkara tersebut,” ujarnya dalam sidang media sejurus lawatan ‘thanir panthal’ sempena sambutan Thaipusam di Jalan Utama dekat sini petang tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari; Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan (PETACH), Yeoh Soon Hin dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan.


Mengulas lanjut,  Kon Yeow dalam pada itu terus mengulangi seruan bahawa setiap individu perlu bertanggungjawab memastikan kebersihan diri senantiasa dijaga.

“Sekiranya mana-mana individu merasakan badan tidak sihat, sebaiknya pergi ke klinik atau hospital yang terdekat dan mengelak daripada keluar mengambil bahagian acara-acara umum ini,” serunya yang juga ADUN Padang Kota.

Ramasamy dalam sidang media sama memberitahu bahawa pihaknya selaku penganjur, sememangnya lebih bersiap-sedia dalam sambutan Thaipusam kali ini.

“Terdapat kira-kira 160 ‘thanir panthal’ pada sambutan kali ini, semua adalah di bawah kawalan malah kita bersedia hadapi sebarang isu.

“Kita ada klinik, kita ada pasukan dari GH (Hospital Pulau Pinang), St. John Ambulance, Polis Diraja Malaysia, Bomba dan Penyelamat… sebab sambutan ini bukan baru, kita sudah lama berpengalaman anjurkan,” ulasnya.

Beliau yang juga ADUN Perai menjangkakan jutaan penganut beragama Hindu dan pelancong bakal membanjiri sambutan Thaipusam di Pulau Pinang tahun ini.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN

Video : LAW SUUN TING