Institut Perubatan dan Pergigian Termaju USM zahir keinginan terus kerjasama dengan Kerajaan Negeri

GEORGE TOWN – Pengarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Syed Azhar Syed Sulaiman menzahirkan keinginan untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri pada masa hadapan.

Beliau yang juga Penasihat International Conference on Integrative Medicine (ICIM) 2020 menyatakan hasrat tersebut termasuk inisiatif menganjurkan ICIM2020 bersempena 4th International Biohealth Science Conference yang dijadualkan pada 6 hingga 8 Mac ini.

Walau bagaimanapun, pada kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar petang tadi, beliau memaklumkan bahawa penganjuran persidangan berkaitan perlu ditangguhkan ke bulan November 2020.

PROFESOR Dr. Syed Azhar Syed Sulaiman.

Menurut Syed Azhar, persidangan yang menarik lebih 1,000 penyelidik daripada 20 negara itu ditangguhkan rentetan situasi semasa wabak Novel Coronavirus (2019-nCoV) kini.

“Umumnya, persidangan tersebut dianjurkan dalam usaha mengukuhkan inovasi halal farmaseutikal dan terapi terapeutik melalui perubatan intergratif.

“Salah satu fokus adalah berkenaan halal farmakopeia yang tidak hanya memberi manfaat kepada pesakit di negara kita tetapi juga pemain industri (farmaseutikal) dan pengguna di seluruh dunia.

“Begitu juga mengenai ketum yang diketahui boleh menjadi produk perubatan intergratif untuk Pulau Pinang dan seluruh negara.

“(Dan) dalam persidangan ini juga, akan diketengahkan mengenai perubatan tradisional Melayu, Cina dan India termasuk perkhidmatan urutan yang cukup terkenal di Malaysia,” ujarnya.

KETUA Menteri menerima kunjungan hormat rombongan daripada Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia di Komtar, hari ini.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Jaringan IPPT, Dr. Hasni Arsad; Ketua Kluster Perubatan Intergratif IPPT merangkap Pengerusi ICIM2020, Dr. Eshaifol Azam Omar dan Pegawai Farmasi, Mohd. Ikhawan Hashim.

Dalam pertemuan selama 30 minit itu, turut dibincangkan adalah mengenai situasi semasa wabak 2019-nCoV.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri ada juga beberapa program yang ditangguhkan meskipun ia masih terkawal di sini,” kata Kon Yeow yang meminta pemantauan diteruskan dari masa ke masa.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS