2021 : Cabaran dan Harapan

Admin

2020 meninggalkan kita dengan 1001 kenangan suka dan duka. Satu dunia seakan terhenti disebabkan oleh penularan pandemik COVID-19. Pandemik ini bukan sekadar mengancam nyawa dan kesihatan manusia, ia juga membawa malapetaka yang besar ke atas sosio-ekonomi masyarakat. Detik 18 Mac 2020 akan terus diingati oleh seluruh warganegara Malaysia sebagai hari yang bersejarah yang mana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di seluruh negara.

 

 

Tidak pernah terjangkau dek fikiran bahawa pandemik ini mampu melumpuhkan sektor-sektor ekonomi tertentu sehingga menyebabkan banyak syarikat-syarikat perniagaan terpaksa menutup operasi buat sementara waktu dan tidak kurang juga yang gagal bertahan dalam situasi genting ini. Sektor pelancongan, pengangkutan awam, perhotelan dan peruncitan merupakan sektor ekonomi yang paling terkesan dengan penguatkuasaan PKP ini. Ramai pekerja daripada sektor-sektor ini yang terjejas sumber pendapatan akibat diberhentikan kerja ataupun pemotongan gaji.

 

 

Tahun 2021 tidak menjanjikan sesuatu yang mudah kepada kita semua. Walaupun kita bakal menerima vaksin untuk COVID-19 dalam pertengahan bulan Februari 2021, ia akan mengambil masa dan dalam waktu yang sama kes harian COVID-19 terus menunjukkan peningkatan. Peperangan untuk melawan COVID-19 dan pada masa yang sama ekonomi negara perlu digerakkan merupakan cabaran yang paling getir. Pusat-pusat pelancongan dibuka untuk kunjungan, gedung-gedung membeli-belah rancak menarik pelanggan, pengangkutan awam kembali dipenuhi dengan penumpang. Semua ini dibuat dengan satu tujuan untuk merancakkan semula aktiviti ekonomi negara dan seterusnya memberi harapan baru kepada para peniaga dan pekerja.

 

 

2020 benar-benar memberi pengajaran kepada kita semua tentang pentingnya ilmu pengurusan kewangan. Ramai yang tidak bersedia dengan kesan ekonomi yang dibawa oleh pandemik ini. Sebelum krisis ini terjadi, majoriti daripada kita tidak mengendahkan kepentingan membuat simpanan kecemasan sebanyak tiga hingga enam bulan kos sara hidup. Apabila hilang pekerjaan ataupun gaji dipotong, mereka tiada sumber kewangan lain untuk menampung perbelanjaan harian keluarga. Selama ini, ramai daripada kita menghabiskan semua pendapatan yang diperolehi untuk berbelanja tanpa memperuntukkan sedikit pun untuk simpanan.

 

 

Jadikan tahun 2021 untuk kita perbetulkan semula tabiat kewangan kita. Tingkatkan tabungan, kurangkan beban hutang dan hemat dalam perbelanjaan boleh dijadikan azam untuk tahun ini. Bagi golongan B40 dan M40 yang menerima Bantuan Prihatin Nasional, gunakanlah wang yang diterima dengan sebaik mungkin untuk membeli keperluan harian. Begitu juga kepada pencarum-pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membuat pengeluaran khas i-Sinar diharap dapat menggunakan wang tersebut bagi meringankan beban kewangan yang dihadapi akibat hilang pekerjaan ataupun pendapatan yang terjejas. Perlu diingatkan, wang tersebut sebenarnya adalah untuk simpanan persaraan kita. Selepas semua krisis ini berakhir dan memperoleh semula pekerjaan, simpanan ini perlu diganti semula bagi menjamin keselesaan hidup selepas bersara nanti.

 

 

Semoga 2021 memberi sinar baru kepada kita semua dan bersama-sama kita putuskan rantaian COVID-19 ini. Lengkapkan diri kita dengan seberapa banyak ilmu terutama dalam aspek kewangan supaya kita lebih bersedia apabila dilanda musibah. Bagi yang mempunyai kemampuan kewangan yang lebih, inilah masa untuk kita sama-sama membantu menaikkan semula ekonomi negara terutama kepada perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana (SME) dengan berbelanja secara berhemat, melancong di dalam negara dan sebagainya tanpa berkompromi dengan segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.