2,022 keluarga terjejas akibat ribut boleh mohon bantuan ikut prosedur ditetapkan – Exco

GEORGE TOWN – Sejumlah 2,022 keluarga dari lima daerah di negeri ini terjejas akibat kejadian ribut yang berlaku pada malam 10 Ogos lalu.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata angka tesebut adalah berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa-mangsa terlibat sehingga jam 5:00 petang, semalam.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut sebanyak 895 keluarga adalah dari daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah, SPT (183), Seberang Perai Selatan, SPS (69), Daerah Barat Daya, DBD (406) dan 469 dari Daerah Timur Laut (DTL).

“Mangsa-mangsa terlibat boleh memohon bantuan baik pulih kediaman sama ada melalui Unit Penyelaras Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) atau Tabung Bencana TYT.

“Bantuan NADMA akan disalurkan melalui Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan hanya terhad untuk RM5,000 sahaja manakala ICU pula menyediakan bantuan maksimum berjumlah RM10,000 mengikut tahap kerosakan.

“Sekiranya berlaku sedikit kerosakan kami (Kerajaan Negeri) akan menggunakan bantuan Tabung Bencana TYT yang akan menampung 10 peratus daripada jumlah (kerosakan) atau maksimum RM5,000.

“Setiap keluarga hanya boleh memohon salah satu daripada tiga agensi ini dan mesti mengikut prosedur yang ditetapkan.

”Permohonan hanya untuk baik pulih unit kediaman dan tidak termasuk bangunan perniagaan atau kenderaan,” katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Boon Poh memaklumkan bahawa tiga projek perumahan kos rendah di DTL iaitu pangsapuri Mutiara Idaman, Jelutong Indah dan Medan Tengku turut mengalami kerosakan.

“Tiga blok flat Mutiara Idaman memerlukan pembaikan dengan kos kira-kira RM200,000 yang mana Kerajaan Negeri akan bantu menggunakan Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) manakala dua pangsapuri lagi menggunakan bantuan ICU.

“Rumah pangsa berstrata adalah tidak termasuk dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) tapi atas dasar kemanusiaan Kerajaan Negeri akan cuba membantu,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI