2,093 pembeli Pangsapuri The Rise, Jalan S.P. Chelliah bakal terima kunci tidak lama lagi

Admin

DATUK KERAMAT – Sejumlah 2,093 pembeli Pangsapuri The Rise dekat Jalan S.P Chelliah di sini bakal menduduki rumah mereka tidak lama lagi apabila kerja-kerja pembersihan akhir sedang giat dilaksanakan pemaju dilantik, Zubicon Sdn. Bhd..

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo ketika memaklumkan perkara itu sebentar tadi melahirkan rasa terujanya apabila projek yang dibangunkan sejak tiga tahun lalu kini bakal menjadi realiti dan lebih membanggakan ia mempunyai ciri-ciri kemudahan seperti yang terdapat pada kondominium mewah.

 

 

“Saya difahamkan projek ini akan diserahkan kepada pembeli menjelang hujung bulan ini, kini pihak pemaju sedang melaksanakan kerja pembersihan fasa terakhir dan jualannya juga telah mencecah 99 peratus daripada keseluruhan 2,093 unit.

 

“Apa yang membanggakan ia adalah sebuah projek Rumah Mampu Milik (RMM) yang terletak di tengah-tengah bandar raya George Town dengan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti kolam renang untuk kanak-kanak dan dewasa, taman mainan, gimnasium serta pusat sumber.

 

“Kemudahan-kemudahan ini bukannya kita (Kerajaan Negeri) yang minta sebab ianya tiada dalam garis panduan ditetapkan, tetapi ini adalah hadiah daripada pemaju,” ujarnya sambil berseloroh bahawa mungkin projek RMM berkaitan adalah pertama dalam negara yang mempunyai kemudahan sebegitu dengan harga unit jualan bermula RM200,000.

 

Hadir sama Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. Addnan Mohd. Razali dan Direktor Zubicon iaitu Lim Beng Keong dan Dickson Lim.

 

Mengulas lanjut, Jagdeep turut memuji usaha Zubicon bagi mendapatkan penarafan Green Building Index (GBI) bagi kedua dua projek (KSR dan RMM) berkaitan.

 

“Projek RMM bakal menerima penarafan GBI Emas, manakala pensijilan GBI bagi KSR.

 

“Lazimnya penarafan GBI diberikan kepada projek-projek mewah, tetapi ini adalah (projek) RMM… mungkin kita (Pulau Pinang) yang pertama menerima penarafan GBI bagi projek KSR,” maklum beliau kepada para pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut ke tapak projek berkenaan pagi ini.

 

Sementara itu, Beng Keong ketika ditemui memberitahu bahawa pihaknya kini sedang giat melaksanakan pembersihan akhir seperti mana yang terdapat dalam garis panduan baharu.

 

“Kami sasarkan untuk dapatkan CCC (Sijil Siap dan Pematuhan) pada akhir bulan ini,” ujarnya.

Manakala, Dickson memberitahu bahawa projek tersebut pada mulanya agak sukar dibangunkan apabila seminggu selepas menandatangani perjanjian dengan Kerajaan Negeri, Pusat telah mengumumkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus.

 

“Ramai yang berpendapat agak sukar untuk melaksanakan projek ini, namun dengan pasukan pembinaan sendiri, kini kami mampu merealisasikannya dan ia adalah hasil sumbangan kami (Zubicon) kepada pihak Kerajaan Negeri,” maklum beliau kepada Buletin Mutiara.

 

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : CHAN KOK KUAN