220 terima sumbangan ‘Kembali Ke Sekolah’

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB & AHMAD ADIL MUHAMAD

SUNGAI ACHEH – Seramai 220 pelajar terpilih menerima pelbagai jenis sumbangan sempena Program Kembali Ke Sekolah peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Acheh baru-baru ini anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shaharin berkata, beliau terdorong untuk terus berkhidmat di Sungai Acheh walaupun gagal merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) tersebut daripada pembangkang Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke- 13, 8 Mei lepas.

“Tuhan telah takdirkan bahawa kita tidak ada rezeki, tetapi, untuk saya tinggalkan Sungai Acheh begitu sahaja, tidak sama sekali.

“Oleh itu, setiap bulan, saya akan ke sini untuk membincangkan mengenai apa yang boleh kita buat untuk rakyat,” ujarnya pada program berkenaan di sini baru-baru ini.

Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Rohani Hassan dan Mohammad Razak (Pegawai Penyeleras KADUN Sungai Acheh) turut hadir dalam majlis itu.

Menurut Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai ‘CheguBard’, Rohani dan Mohammad banyak membantu pihaknya dalam menguruskan keperluan kominiti di KADUN tersebut.

Dalam program itu, Badrul Hisham menyampaikan sumbangan berupa yuran persekolahan kepada pelajar-pelajar terpilih, selain memberi baju seragam sekolah dan hamper.

Serentak dengan Program Kembali Ke Sekolah, Badrul Hisham berkata, pertandingan gubahan bunga untuk wanita serta mewarna turut diadakan bagi menghargai komuniti setempat.

Tidak cukup dengan itu, beliau memberitahu, perkhidmatan gunting rambut secara percuma turut diadakan untuk 100 pelajar lelaki terawal pada majlis tersebut.