223 terima bantuan daftar masuk IPT Kerajaan Negeri

Admin
KETUA Menteri merakamkan gambar kenang-kenangan dengan waris penerima Bantuan Pendaftaran Pelajar Ke IPT, di Dewan Sri Pinang pada pagi tadi.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang akan meneruskan pemberian skim Bantuan Pendaftaran Pelajar Ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang ketika ini telah dilaksana selama hampir sedekad.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian sebelum menyempurnakan majlis penyerahan cek bantuan kepada 223 penerima bagi Daerah Timur Laut (DTL) di Dewan Sri Pinang dekat sini pada 19 September 2019.

“Bantuan ini mungkin kecil nilainya, tetapi Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan inisiatif pemberian bantuan pendaftaran pelajar ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; ADUN Batu Uban, A. Kumaresan; Pegawai Daerah DTL, Rosli Halim; dan Penyelaras Program iBITA DTL, Maheran Ghazali.

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi memberitahu bahawa jumlah keseluruhan sumbangan pada kali ini adalah RM197,800, meliputi bantuan RM300 kepada mereka yang daftar masuk ke Politeknik; RM1,000 bagi yang melanjutkan pengajian tinggi di Semenanjung Malaysia, sementara RM1,200 untuk belajar di Sabah dan Sarawak.

Difahamkan, sejak tahun 2008 lagi skim bantuan tersebut dilaksanakan dengan kadar sumbangan RM500, kemudian dinaikkan sehingga RM1,000 pada tahun 2011.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ALISSALA THIAN