23 peniaga ‘Car Boot Sale’ terima lesen perniagaan MPSP

Admin

BAGAN DALAM – Seramai 23 peniaga yang menjalankan perniagaan ‘Car Boot Sale’ (Jualan But Kereta) secara kecil-kecilan menerima Lesen Premis Perniagaan daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Lesen berkenaan diserahkan kepada para peniaga terlibat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees dalam satu majlis ringkas yang diadakan di C-Section dekat Jalan Bagan Luar 2, di sini.

Satees berkata, kelulusan pemberian lesen premis perniagaan itu adalah salah satu daripada usaha merancakkan kembali ekonomi setempat sepertimana yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi kawasan Bagan Dalam.

M. Satees menyerahkan lesen perniagaan MPSP kepada peniaga yang layak.

“Melalui pemerkasaan peniaga-peniaga kecil ini secara tidak langsung akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi tempatan di Butterworth.

“Saya juga akan menganjurkan beberapa program lain untuk memberi pendedahan kepada para peniaga mengenai insentif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan seperti pembiayaan mudah, pinjaman tanpa faedah serta lain-lain skim yang berkaitan.

“Paling penting adalah para peniaga harus cekal dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kebolehan serta kemahiran dalam mengembangkan lagi perniagaan mereka,” katanya.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MPSP, K. Kumaran; Pengarah Syarikat Zart Eventive Sdn. Bhd., Zaini Zainul serta beberapa pegawai daripada Jabatan Pelesenan MPSP.

Mengulas lanjut, Satees menjelaskan bahawa tempoh untuk mendapatkan lesen perniagaan MPSP adalah amat singkat iaitu hanya mengambil masa satu minggu selepas sesi taklimat diadakan pada minggu lalu.

“Terima kasih kepada kepada pihak Jabatan Pelesenan MPSP yang begitu efisien dan memudahkan permohonan lesen para peniaga.

“Oleh itu, saya akan terus bekerjasama erat dengan pihak MPSP pada masa-masa akan datang untuk membantu para peniaga kecil di negeri ini terutamanya bagi kawasan Butterworth dalam apa jua hal berkaitan,” jelasnya.

Difahamkan, kesemua 23 peniaga yang berjaya mendapatkan lesen perniagaan MPSP juga bakal menerima bantuan kanopi “I ❤ Penang” yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADUN