24 Ahli Majlis MBPP lafaz terima jawatan, tampil tiga muka baharu

Admin

GEORGE TOWN – Seramai tiga muka baharu dilantik sebagai Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkuat kuasa selama setahun mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2021 mengikut Akta 171 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Mereka ialah Lee Chee How daripada Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC); Dr. Shahul Hameed Syed Mohamed (Liga Muslim Pulau Pinang) dan Lee Kim Noor (Persatuan Pembayar Cukai Pulau Pinang), masing-masing melafaz akuan menerima jawatan di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Dewan Bandaraya, Jalan Padang Kota Lama pagi ini.

 

(Dari kiri); LEE Kim Noor, Lee Chee How dan Dr. Shahul Hameed Syed Mohamed tekad memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang tempoh lantikan ini.

Hadir menyaksikan upacara tersebut ialah Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Setiausaha Bandaraya, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali serta Ketua-ketua Jabatan pihak berkuasa tempatan tersebut.

Terdahulu, Kon Yeow ketika menyampaikan ucaptama menzahirkan penghargaan dan ucapan syabas kepada semua Ahli Majlis yang melafaz akuan menerima jawatan.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan Ahli-Ahli Majlis yang dilantik supaya memikul tanggungjawab menggerakkan MBPP sebagai sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memimpin sambil berkhidmat kepada rakyat di negeri ini.

“Sering ditekankan bahawa Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara memerlukan penglibatan dan penyertaan semua lapisan masyarakat.

“Jawatan (Ahli Majlis) yang disandang ini adalah sangat besar tanggungjawabnya dalam memastikan pembayar cukai memperoleh perkhidmatan terbaik dan mendapat manfaat daripada hasil yang diterima oleh pihak berkuasa tempatan melalui program serta projek yang dirangka bagi menyokong pembangunan negeri Pulau Pinang,” katanya pada upacara berkaitan di sini.

Menurut Kon Yeow, sejumlah RM382.29 juta disediakan pada tahun 2021 oleh MBPP bagi mendukung aspirasi persekitaran sosioekonomi yang sejahtera dan berdaya saing.

“MBPP sentiasa menitikberatkan keperluan penyediaan kemudahan awam demi keselesaan rakyat, dan Kerajaan Negeri percaya bahawa MBPP akan terus komited untuk mengekalkan serta mempertingkatkan status bandar raya.

“Pada tahun 2019, Nilai Pembangunan Kasar (GDV) di bahagian pulau adalah berjumlah RM2,567,999,520 hasil daripada pembangunan yang diluluskan oleh MBPP. Manakala bagi tahun 2020 pula, sejumlah RM2,572,493,593 dicatatkan dan ia dijangka akan berkekalan bagi keseluruhan tahun 2021,” ujarnya yang yakin dengan kesungguhan pihak berkuasa tempatan itu dalam mencapai kecemerlangan sama ada pada aspek kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan semua penduduk Pulau Pinang.

Difahamkan, daripada RM382.29 juta yang diperuntukan, sejumlah RM128.98 juta disalurkan bagi pelaksanaan program dan projek berkaitan kebersihan (RM59.94 juta); kehijauan (RM7.92 juta); keselamatan (RM5.17 juta) dan kesihatan (RM1.52 juta).

24 Ahli Majlis yang dilantik merakam kenangan bersama-sama Ketua Menteri, Jagdeep Singh Deo (depan, kanan) dan Ar. Yew Tung Seang (depan, kiri) sejurus Upacara Pengakuan Menerima Jawatan Sebagai Ahli Majlis MBPP di sini pagi ini.

Dalam pada itu, nada sama turut dizahirkan oleh Jagdeep melalui ucapannya pada pagi ini.

“Saya yakin Ahli Majlis akan memberi fokus dan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam memastikan kesinambungan rancangan strategik dan transformasi pihak berkuasa tempatan.

“Saya juga yakin bahawa MBPP akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pembayar cukai melalui pelaksanaan pembangunan yang mampan, meningkatkan ekonomi yang dinamik, membangunkan persekitaran yang berdaya huni, berdaya tahan dan berdaya saing.

“(Dan) segala komitmen serta dedikasi warga MBPP ini terbukti apabila menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah sama ada di peringkat tempatan, kebangsaan mahupun antarabangsa,” katanya yang turut menzahirkan ucapan tahniah serta syabas kepada semua 24 Ahli Majlis MBPP yang hadir melafaz akuan penerimaan hari ini.

Serentak itu, Tung Seang turut merakamkan penghargaan kepada Kon Yeow yang hadir menyempurnakan Upacara Pengakuan Menerima Jawatan Sebagai Ahli Majlis MBPP di sini pagi ini.

Malah, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua mantan Ahli Majlis yang telah bertungkus-lumus dan berkhidmat sepenuh hati sepanjang tempoh perkhidmatan lalu sehingga MBPP berjaya memperoleh pencapaian yang membanggakan bagi tahun 2020.

“Pada tahun 2021, MBPP akan meneruskan usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh warga Pulau Pinang dan memastikan amalan terbaik dapat diperkasakan melalui lima domain utama iaitu urus tadbir pintar; persekitaran pintar; mobiliti pintar; ekonomi pintar serta komuniti pintar.

“(Dan) kami (MBPP) akan terus menerajui serta mempercepatkan pelan transformasi ke arah sebuah bandar raya rendah karbon yang mampan dan pintar.

“Selain itu, fokus turut diberikan terhadap pengurusan sisa, keselamatan bandar raya dan meneroka inisiatif baharu dalam menstimulasikan ekonomi rakyat Pulau Pinang yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dengan mengadaptasikan normal baharu bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan.

“Malah, bagi membolehkan MBPP terus maju ke hadapan, semua projek dan program yang dilaksanakan perlulah memberi kesan terbaik berlandaskan prinsip ‘Low Investment, High Impact’,” ulasnya.

Sebagai rekod, pelantikan Ahli Majlis bagi tahun 2021 dipilih mengikut kuota yang disediakan iaitu 10 orang daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP); Parti Keadilan Rakyat (8); Parti Amanah Negara (2) dan pertubuhan bukan kerajaan, NGO (4).

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD