24 ‘berentap’ Piala Ketua Menteri, Pulau Pinang sedia galas tugas tuan rumah Sepak Takraw Sukan SEA 2027

Admin
cf0b7b36 3283 471c b2d2 dd84039530c3 KETUA Menteri (empat dari kiri) merakamkan gambar dengan barisan penganjur dan penaja Kejohanan Sepak Takraw Serantau Piala Ketua, seusai menyampakan ucapan perasmian pembukaan temasya itu di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh di sini pada 16 Mei 2026.

SEBERANG JAYA – Sebanyak 24 pasukan, termasuk dua penyertaan antarabangsa dari Thailand berentap bagi merebut kejuaraan dalam Kejohanan Sepak Takraw Serantau Piala Ketua Menteri yang mula membuka tirai saingan pada awal pagi ini.

Kejohanan berprestij selama dua hari sehingga 17 Mei itu berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh, di sini.

2cf18f6b 50b7 48fa a688 0641a5203e7e
KETUA Menteri berucap merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Serantau Piala Ketua Menteri di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh, di sini pada 16 Mei 2026.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, kehadiran pasukan luar negara tersebut bukan sahaja meningkatkan status kejohanan, malah menjadi petanda positif buat landskap sukan negeri menjelang temasya sukan terbesar serantau iaitu Sukan SEA 2027, yang mana Pulau Pinang dipilih menjadi tuan rumah bagi acara sepak takraw untuk temasya Sukan SEA 2027.

“Semestinya, saya percaya bahawa ini adalah berita baik kepada semua pemain, pegawai kejohanan serta para peminat sukan sepak takraw.

“Kita akan menyaksikan pertandingan bertaraf antarabangsa dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara yang bakal mengambil bahagian (dalam Sukan SEA 2027)

“Negeri Pulau Pinang amat bangga kerana dapat menjadi tuan rumah bagi acara sepak takraw untuk temasya Sukan SEA 2027 nanti,” katanya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi ketika merasmikan kejohanan tersebut di sini pada 16 Mei 2026.

Penasihat Sungai Ara Takraw Club (SATC), Ibrahim Yusoff turut berucap dalam acara pembukaan temasya kejohanan tersebut.

30cc6296 5575 4fe7 bc91 eb1e51a70b65
KETUA Menteri (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama-sama para peserta Kejohanan Sepak Takraw Serantau Piala Ketua Menteri di sini sebentar tadi.
0312c212 f3d1 45a9 b90b a5058b0ac392
KETUA Menteri turut mengambil bahagian dengan menunjukkan bakat terpendam, semasa acara gimik perasmian Kejohanan Sepak Takraw Serantau Piala Ketua Menteri di sini tadi.

Mengulas lanjut mengenai penganjuran Piala Ketua Menteri kali ini, Kon Yeow menyifatkan ia sebagai platform terbaik untuk menguji keupayaan penganjuran serta mencungkil bakat-bakat baharu sebelum melangkah ke pentas yang lebih tinggi.

98b4f728 be5b 4130 af80 5cecf6678c30
ANTARA gambar yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara semasa perlawanan sulung sempena berlangsungnya Kejohanan Sepak Takraw Serantau Piala Ketua Menteri di sini pada awal pagi tadi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut menzahirkan harapan agar momentum penganjuran kejohanan sukan seperti ini dapat diteruskan bagi mempersiapkan negeri sebagai hos bertaraf dunia.

“Mudah-mudahan kita berjumpa lagi di kejohanan Sukan SEA bagi acara sepak takraw pada tahun hadapan,” tambah beliau optimis.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN