27 kes masih menunggu penempatan institusi kebajikan di Pulau Pinang

Admin
img 20261104 wa0047

GEORGE TOWN – Seramai 27 individu, melibatkan kanak-kanak mangsa penderaan atau pengabaian serta warga emas tanpa waris, masih menunggu penempatan di institusi kebajikan yang bersesuaian di Pulau Pinang setakat 27 Oktober lalu.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, proses penempatan bergantung pada penilaian kes, keperluan perlindungan, prosedur perundangan serta kekosongan di institusi kebajikan berkaitan.

Menurutnya, kerjasama antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan hospital kerajaan dilaksanakan melalui Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP) di setiap hospital dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD).

“Kerjasama ini bertujuan memastikan kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan atau pengabaian serta warga emas tanpa waris mendapat penempatan yang selamat dan bersesuaian selepas dibenarkan keluar dari hospital,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Siew Khim berkata, pengurusan kes kanak-kanak adalah berpandukan Akta Kanak-Kanak 2001, dengan JKSP merujuk kes kepada Pelindung Kanak-Kanak di bawah JKM untuk tindakan lanjut.

Katanya, Pelindung bertanggungjawab menilai keadaan setiap kes, selain menentukan penjaga yang layak atau tempat perlindungan yang selamat dan sesuai bagi kanak-kanak terbabit selepas discaj hospital.

Bagi kes berisiko tinggi, permohonan perintah jagaan sementara akan diuruskan melalui Mahkamah Bagi Kanak-Kanak bagi membolehkan mangsa ditempatkan di institusi atau Rumah Kanak-Kanak kendalian JKM, tertakluk kepada prosedur dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Bagi warga emas tanpa waris pula, proses penempatan boleh mengambil masa enam bulan atau lebih, bergantung pada kekosongan di institusi yang bersesuaian.

Siew Khim berkata, JKSP terlebih dahulu akan mempertimbangkan penempatan di pusat jagaan kendalian swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sekiranya tiada kekosongan, kes akan dirujuk kepada PKMD untuk siasatan dan penilaian kebajikan, termasuk mengenal pasti keperluan penjagaan serta menyelaras permohonan penempatan di institusi kendalian JKM.

Tambahnya, permohonan diproses berdasarkan kelengkapan dokumen, penilaian kes dan kekosongan institusi.

“Sekiranya institusi kendalian JKM tidak mempunyai kekosongan, pihak jabatan akan berusaha mendapatkan penempatan sementara di pusat jagaan NGO sementara menunggu kelulusan kemasukan ke institusi kendalian JKM,” jelasnya yang juga ADUN Sungai Pinang.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa tiada tempoh penyelesaian khusus ditetapkan bagi kes penempatan kanak-kanak kerana tempoh pengurusan bergantung pada hasil siasatan, penilaian Pelindung, tahap kecemasan, keperluan perlindungan serta kapasiti institusi kebajikan.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap kes dikendalikan mengikut keperluan dan keadaan masing-masing, dengan kebajikan serta kepentingan terbaik kanak-kanak sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Oleh: SUNARTI YUSOFF

Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT