27 terima Sijil Pengakap Raja

Admin
TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (kanan) menyampaikan anugerah bintang dan pingat kepada salah seorang penerima dalam majlis berkaitan di sini pada petang tadi.

GEORGE TOWN – Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada petang ini berkenan menganugerahkan Sijil Pengakap Raja kepada 27 ahli pengakap remaja berkenaan di seluruh negeri ini.

Dalam majlis penuh istiadat, beliau yang juga Penaung Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Pulau Pinang turut berkenan menganugerahkan bintang serta pingat kepada 335 penerima terpilih atas penglibatan aktif serta bakti terpuji yang disumbangkan oleh mereka dalam mengharumkan pergerakan pengakap di negeri ini.

KETUA Menteri (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bersempena Majlis Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja di sini pada petang tadi.

Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Pulau Pinang memberitahu bahawa pergerakan tersebut adalah kekal relevan sehingga kini terutama dalam melahirkan modal insan di samping menjadi platform pembentukan jati diri generasi muda yang disiplin, berwawasan dan bertanggungjawab.

“Model dan program yang diguna pakai telah membantu ahli pengakap bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam kehidupan bermasyarakat.

“Sebagai negeri pertama yang menubuhkan Pergerakan Pengakap Malaysia di negara ini pada sekitar tahun 1908, adalah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab saya untuk memastikan Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Pulau Pinang untuk kekal unggul dan berprestij,” ujarnya dalam Majlis Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja di sini pada 5 Jun 2022.

Selain itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong turut berpendapat bahawa tumpuan serta pendekatan yang dimainkan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia di negeri ini adalah selari dengan usaha Kerajaan Negeri dalam merealisasikan Visi Penang2030 dengan tema ‘Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara’.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut mengulas perkara-perkara yang dibangkitkan peringkat pengurusan tertinggi Majlis Pengakap Negeri Pulau Pinang terutamanya perihal tapak kem bagi membolehkan aktiviti-aktiviti berpengakap dijalankan dengan lebih tersusun dan teratur pada masa depan.

“Umumnya, Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang halangan, dan saya percaya bahawa perkara ini telah diteliti serta berada pada peringkat akhir perbincangan,” katanya sambil mengalu-alukan cadangan demi memastikan golongan belia terutama anggota pengakap mendapat kemudahan sewajarnya.

BERISAN pengurusan tertinggi Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Pulau Pinang merakamkan gambar kenangan bersama-sama Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (duduk, tengah) dengan diiringi Ketua Menteri (duduk, tiga dari kiri) dan Soon Lip Chee (duduk, dua dari kiri) di sini tadi.
TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak dengan diiringi oleh barisan pemimpin Majlis Pengakap Negeri Pulau Pinang menyampaikan cenderamata kepada seorang wakil pengakap antarabangsa di sini tadi.

Sebelum itu, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pulau Pinang, Zulkafli Kamaruddin mengetuai istiadat majlis melafaz ikrar setia sekalian anggota pengakap di depan Tun Ahmad Fuzi dan Kon Yeow.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri; Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara merangkap Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Profesor Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin serta beberapa wakil pengakap antarabangsa merupakan antara tetamu kehormat yang hadir bagi menyaksikan majlis istiadat tersebut di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : ALISSALA THIAN