270 murid terpilih KADUN Air Itam terima kelengkapan persekolahan

Admin

AIR ITAM – Seramai 270 murid terpilih dari 10 buah sekolah rendah di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam menerima bantuan kelengkapan persekolahan bagi memasuki sesi baru tahun hadapan.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang berkata, program tahunan itu bertujuan membantu keluarga daripada kelompok B40 yang kurang berkemampuan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.

 

JOSEPH Ng Soon Siang (tengah) sempat menyapa mesra salah seorang murid yang menerima bantuan tersebut. Turut kelihatan, Ismail Ahmad (kanan sekali).

“Sebagai ADUN saya akan cuba mencari penyelesaian dan membantu meringankan beban golongan yang memerlukan bantuan.

 

“(Dan) tahun ini sekali lagi, saya memperuntukkan 10 set untuk 10 murid yang dipilih oleh pihak sekolah sendiri untuk menerima bantuan ini.

 

“Murid-murid yang dipilih ini adalah dalam kalangan murid Darjah 2, 3 dan 5,” ujarnya kepada pemberita pada majlis penyerahan baucar bantuan kelengkapan persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Aman dekat sini pagi ini.

 

Hadir sama, Guru Besar SK Sri Aman, Ismail Ahmad selaku tuan rumah majlis berkaitan serta wakil dari SK Air Itam; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Kang dan SJKC Chiao Nan.

 

Turut serta wakil daripada Syarikat Magnificient Emblem Sdn. Bhd. yang menaja sebanyak RM21,600 bagi membekalkan kelengkapan persekolahan berkaitan melalui tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan.

 

Difahamkan, sejumlah 70 baucar diperuntukkan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam KADUN Air Itam bagi membantu anak-anak yang bersekolah di luar kawasan.

 

“Saya difahamkan, ada pengundi KADUN Air Itam yang anak mereka bersekolah di luar kawasan Air Itam, jadi saya memperuntukkan 70 set untuk MPKK membuat pemilihan bagi membantu mereka yang layak,” katanya yang berharap agar lebih banyak syarikat atau badan bukan kerajaan tampil bekerjasama dengan ADUN dalam menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING