277 petugas barisan hadapan tangani kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung dihargai

Admin
KUMPULAN anggota barisan hadapan Bomba turut mengambil kesempatan merakamkan gambar kenang-kenangan bersama-sama Ketua Menteri dalam majlis berkaitan, semalam.

JAWI – Semua petugas barisan hadapan yang terlibat dalam menangani insiden kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung dalam kejadian pada 12 Januari lepas begitu dihargai oleh Kerajaan Negeri hari ini.

KETUA Menteri

Demikian kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sambil merakamkan penghargaan kepada Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye serta Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan (PDTSPS) ekoran bersama-sama menganjurkan Majlis Apresiasi Petugas Barisan Hadapan Insiden Kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung di Dewan Serbaguna Jawi pada malam ini (29 Mac 2022).

“Kerajaan Negeri amat berbangga dengan komitmen, tanggungjawab serta titik peluh dan keringat yang tidak mengenal erti penat lelah tuan-tuan serta puan-puan.

“Yang mana telah meletakkan kepentingan awam lebih daripada (kepentingan) peribadi dalam membantutkan kebakaran serta memindahkan semua penduduk ke tempat yang lebih selamat,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi pada majlis berkaitan di sini.

Menyorot peristiwa 12 Januari lepas, kira-kira 82 ekar Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung terbakar dan diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1 berdasarkan penilaian Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bencana kebakaran itu telah melibatkan keluasan 28 ekar serta memberi kesan langsung sekitar dua kawasan perumahan berhampiran iaitu 38 keluarga di Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru (52 keluarga).

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata bahawa seramai 277 anggota barisan hadapan terlibat dalam operasi menangani bencana serta penyelamatan orang awam berkenaan.

Mereka, menurut beliau, antaranya anggota barisan hadapan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Meteorologi Malaysia serta dua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Ladang Byram serta Kampung Kebun Baru.

“Operasi pemadaman telah menggunakan pelbagai jentera serta peralatan yang melibatkan koordinasi para petugas daripada pelbagai agensi negeri dan Persekutuan.

“Ini termasuk bantuan daripada Bomba sekitar SPS dan juga Parit Buntar (Perak),” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Sebelum itu, Mooi Lye turut merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow kerana telah memberikan bayaran saguhati RM1,000 kepada setiap keluarga yang terjejas dek bencana kebakaran tersebut.

“Sebagai pemerintah (Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini) yang prihatin kepada rakyat, saya ingin mengucapkan sekali lagi terima kasih kepada pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow kerana telah memberikan bayaran saguhati RM1,000 kepada 38 buah keluarga di Ladang Byram serta Kampung Kebun Baru (77),” ulasnya.

ADUN Jawi, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad dan Pegawai Daerah SPS, Marlia Mohd. Belia merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir pada majlis apresiasi tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar & video : AHMAD ADIL MUHAMAD