28 Ogos sebagai Hari Wakaf Pulau Pinang, umum Ahmad Zakiyuddin

Admin

GEORGE TOWN – Tarikh 28 Ogos setiap tahun bakal menjadi detik permulaan bersejarah buat Wakaf Pulau Pinang apabila dipilih sebagai Hari Wakaf Pulau Pinang. 

 

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, pemilihan tarikh tersebut adalah hasil perbincangan dalam sesi libat urus Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) baru-baru ini. 

 

“Kertas kerja cadangan tersebut sedang diusahakan dengan pengisian sambutan (antaranya) adalah sumbangan wakaf tunai daripada masyarakat dan agensi-agensi berkaitan serta mewujudkan juga Anugerah Tokoh Wakaf Pulau Pinang. 

 

“Mudah-mudahan dengan adanya sambutan Hari Wakaf Pulau Pinang ini sistem wakaf akan mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini,” ujarnya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Pelancaran Program Waqf Brotherhood yang disiarkan secara langsung menerusi platform Google Meet, Facebook dan YouTube pada 28 Ogos 2021. 

 

Turut sama, Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf Pulau Pinang, Rosidi Hussain; Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dr. Roslan Ahmad; Mufti Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Mohd. Bazid Abdul Kahar; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, Amran Hazali; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAIPP), Mohd. Zakuan Zakaria dan Rektor Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB, Profesor Dr. Mohamad Abdul Hamid. 

 

Barisan Ahli-Ahli Majlis MAINPP, wakil-wakil daripada institusi kewangan perbankan Islam seperti Maybank Islamic; CIMB Islamic; Bank Islam; Affin Islamic; Hong Leong Islamic Bank dan Etiqa Takaful; institusi pendidikan seperti Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM); Majlis Guru-Guru Kaunseling Negeri Pulau Pinang; Majlis Daerah Kerian, Perak serta wakil-wakil jabatan dan agensi kerajaan berkaitan termasuk amil-amil zakat antara yang hadir pada majlis maya berkaitan. 

 

ANTARA yang menyertai Majlis Pelancaran Program Waqf Brotherhood.

 

Dalam ucaptama sama ketika menyentuh mengenai penganjuran julung kali Program Waqf Brotherhood, Ahmad Zakiyuddin yang juga Yang Dipertua MAINPP memaklumkan bahawa Wakaf Pulau Pinang kini dalam rangka misi menjadikan instrumen wakaf sebagai agenda dalam kehidupan masyarakat Islam di negeri ini. 

 

“Dek pandemik COVID-19 yang masih berlanjutan sehingga kini, pelbagai pendekatan dan promosi menggunakan platform digital sedang rancak dilaksanakan oleh agensi milik penuh MAINPP ini, selaras dengan Visi Penang2030 iaitu ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

 

“Konsep Program Waqf Brotherhood adalah berdasarkan at-ta’awun iaitu rangkaian kerjasama secara menyeluruh daripada pelbagai agensi yang bergabung sebagai rakan strategik dalam melaksanakan tanggungjawab demi memenuhi keperluan ummah.

 

“Selain itu, program ini juga bakal membentuk rangkaian sukarelawan Wakaf Pulau Pinang yang lebih mantap untuk memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti Pulau Pinang. 

 

ROSIDI Hussain.

 

Terdahulu, Rosidi ketika menyampaikan ucapan alu-aluan memberitahu bahawa Program Waqf Brotherhood adalah inovasi yang sedang dilaksanakan Wakaf Pulau Pinang dalam usaha memenuhi tiga tujuan. 

 

“Pertamanya, mempromosi fiqh al-waqf (fekah wakaf); keduanya mempromosi kesedaran berwakaf dan seterusnya meletakkan Wakaf Pulau Pinang sebagai wadah dalam menggerakkan potensi serta instrumen wakaf dalam kalangan masyarakat. 

 

“(Dan) dalam menjaga amanah Allah SWT,  platform baharu yang diwujudkan ini akan membentuk satu jaringan rangkaian strategi yang lebih meluas serta saling melengkapi atas nama persaudaraan wakaf,” katanya yang mahu merealisasikan wakaf sebagai pemangkin ekonomi ummah di Pulau Pinang. 

 

Berkongsi mengenai perancangan masa depan Program Waqf Brotherhood, Rosidi berkata pihaknya merancang untuk mengadakan kad istimewa kepada peserta program.

 

SEBAHAGIAN daripada jemputan yang hadir secara maya.

 

Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI