Doa, harapan bebas cengkaman COVID-19 sempena kemerdekaan ke-64

 

 

 

TAHUN kedua menyambut Hari Kemerdekaan dalam suasana normal baharu bukanlah satu perkara yang diinginkan oleh setiap jiwa anak Malaysia.

 

 

 

Namun, dengan peningkatan kes jangkitan COVID-19  saban hari masih mencapai lima angka dalam negara, pastinya mengundang rasa yang berbaur sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-64 tahun ini.

 

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, SYERLEENA ABDUL RASHID ketika ditemu bual melalui aplikasi WhatsApp berharap agar bangsa Malaysia akan terus teguh dan bersabar dalam berdepan pandemik COVID-19.

 

 

 

 

“64 tahun sudahnya kita Merdeka tetapi tahun ini, kita masih lagi menghadapi cabaran pandemik yg seolah-olah tiada kehabisan.

 

 

 

“Diharapkan rakyat bersabar dan hadapi cabaran bersama-sama dengan teguh. Apapun yang berlaku, kita bangsa Malaysia,” ujar beliau kepada wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS.

 

 

 

 

ADUN Batu Uban, A. KUMARESAN dalam pada itu berharap semua pihak bergabung tenaga demi membina keutuhan membebaskan negara daripada cengkaman COVID-19.

 

 

“Keadaan sekarang kita berdepan masalah kesihatan awam dan tekanan ekonomi akibat daripada pandemik ini.

 

 

 

“Tidak ada jalan lain melainkan semua pihak bersatu seperti dianjurkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (selaku Ahli Parlimen Port Dickson) yang membuka dimensi baharu demi menstabilkan suhu politik semasa dan demi Malaysia yang lebih baik,” jelasnya.

 

Bagi NUR ASHIKIN ISMAIL, 23, walaupun tahun ini sekali lagi sambutan kemerdekaan diraikan dalam suasana normal baharu, namun iltizam mengekalkan perpaduan dalam kalangan rakyat harus terus kekal utuh.

 

 

 

“Bukan sahaja Pulau Pinang malah negara kita kini diuji dengan perebakan COVID-19 dan ini memerlukan kita berganding bahu untuk sama-sama buang yang keruh dan ambil yang jernih.

 

 

 

“Jadikanlah ujian yang dihadapi kini sebagai pembakar semangat untuk kita bergerak ke hadapan, jangan pentingkan diri sebaliknya harus melihat kepentingan semua…kepentingan sejagat demi Malaysia yang lebih baik,” katanya yang merupakan pelajar tahun akhir Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA Cawangan Negeri Sembilan.

 

 

Kakitangan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), KU FARHANA KU YAHAYA, 35 berharap negara Malaysia tercinta cepat bebas daripada COVID-19.

 

 

“Ancaman terhadap kemerdekaan dahulu sudah semestinya tidak sama lagi mengikut peredaran zaman.

 

 

“Sekiranya sebelum ini merdeka lebih dikaitkan dengan penjajahan dan penaklukan, era moden cabaran seperti pandemik, ekonomi, kestabilan negara dilihat lebih mendatangkan cabaran.

 

 

 

“InsyaAllah sekiranya kita bersatu, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan ambil vaksin kita mampu keluar daripada cengkaman virus ini,” ujarnya yang bertugas di bahagian akaun.

Tidak dapat pulang ke kampung halaman hampir setahun, SITI ASMAH MD. AKHIR, 35, turut berharap Malaysia bebas segera mengharungi pandemik yang mula diisytihar sejak Mac 2020.

“Sudah dua kali terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri di Pulau Pinang merupakan cabaran kepada perantau seperti saya dan saya percaya ramai lagi senasib dengan saya.

“Jadi saya berharap suku terakhir 2021 akn digunakan sebaik mungkin oleh rakyat Malaysia tambahan pula kadar vaksinasi makin meningkat maka rentas negeri diharap akan dibenarkan tidak lama lagi,” jelas anak jati Alor Setar, Kedah itu.