30 kanak-kanak terpilih dirai sempena Aidilfitri

Admin

TELUK BAHANG – Bersempena dengan perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang, Buddhist Tzu-Chi Merits Society Malaysia (Tzu-Chi) dan Pertubuhan Wanita Mutiara (PWM) meraikan seramai 30 kanak-kanak dari Balai Rakyat Teluk Bahang.

Majlis disempurnakan oleh isteri kepada Ketua Menteri, Puan Tan Lean Kee dekat Dewan Awam Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di sini semalam.

Semasa berucap, Lean Kee turut memuji usaha mulia Tzu-Chi dalam menyediakan tempat bagi kanak-kanak yang sukar memahami pembelajaran di kawasan Teluk Bahang.

“Jika diimbas kembali, tiga tahun lepas sebelum pandemik COVID-19, Tzu Chi telah menjemput saya untuk melawat pusat ini, dan kini saya amat bersyukur masih diberikan peluang untuk datang ke sini bersama-sama ahli-ahli PWM.

“Umum ketahui bahawa setiap kanak-kanak perlu diberikan perhatian, bimbingan dan penjagaan yang sebaiknya bagi membentuk seorang insan yang berakhlak mulia.

“Peranan ini bukan sahaja tanggungjawab ibu bapa, malahan juga komuniti sekeliling,” jelasnya yang juga Pengerusi PWM.

TAN Lean Kee sempat merakam gambar kenang-kenangan bersama kanak-kanak baru-baru ini.

Turut hadir, Penghulu Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya, Safirol Iman Pisal, barisan sukarelawan Persatuan Tzu Chi, ahli-ahli PWM serta guru-guru.

Dalam pada itu, Lean Kean turut memaklumkan bahawa kanak-kanak terbabit memasuki sekolah harian seperti biasa sebelum menghadiri pusat jagaan tersebut.

“Walaupun mereka mempunyai kekurangan dari segi pembelajaran, namun mereka tetap menunjukkan daya kreativiti melalui penganjuran aktiviti sukaneka, memasak, berkebun dan paling terkini mengitar semula plastik dan hasilkan bakul.

“Bukan itu sahaja, bakul yang dihasilkan turut dijual dan keuntungan yang diperoleh digunakan untuk membeli tiket pas masuk apabila lawatan sambil belajar diadakan, secara tidak langsung mereka lebih gigih mendapatkan sesuatu dengan hasil usaha sendiri,” tambahnya lagi.

Difahamkan, kanak-kanak berkenaan turut menerima sumbangan baju raya baharu berserta duit raya sebagai persediaan Aidilfitri yang bakal kunjung tiba.

Pusat jagaan tersebut telah ditubuhkan pada tahun 2018 dan kini menempatkan seramai 30 kanak-kanak berumur antara ena sehingga 14 tahun.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI