30 pelajar sertai program motivasi peringkat komuniti Sungai Nibong Besar

PARA pelajar merakamkan gambar dengan pihak penganjur selepas majlis penyampaian sijil penyertaan Program Motivasi di Dewan MPKK Sungai Nibong Besar, Pantai Jerejak di sini pada 19 Mac 2023.

PANTAI JEREJAK – Seramai 30 pelajar dalam kelompok umur 9 tahun hingga 14 tahun menyertai Program Motivasi Cuti Sekolah yang diadakan di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Nibong Besar pada 19 Mac 2023.

Pengerusi MPKK Sungai Nibong Besar, Mohamed Shawal Ahmed memberitahu Buletin Mutiara bahawa program tersebut adalah anjuran bersama MPKK Sungai Nibong Besar, Persatuan Pimpin, Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Pejabat Parlimen Bayan Baru dan beberapa Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Memandangkan sesi persekolahan tahun 2023 bermula esok (20 Mac 2023), kita mengambil kesempatan menganjurkan program motivasi pelajar sekolah seharian peringkat komuniti.

“Sasaran kita satu sahaja, mahu merangsang kembali semangat anak-anak kita untuk kembali ke sekolah dan belajar bersungguh-sungguh,” jelasnya dalam majlis berkaitan di sini.

Di samping itu, beliau turut mengalu-alukan sekalian ibu bapa dan waris kepada para pelajar berkenaan supaya turut melibatkan diri dalam program pemerkasaan komuniti lokal pada masa hadapan.

“Saya percaya dalam kalangan ibu bapa dan waris mesti ada kepakaran dan pengalaman sendiri, yang mana mungkin boleh turut kembali menyumbang kepakaran dan pengalaman itu dalam program-program pemerkasaan komuniti pada masa hadapan kelak,” katanya lagi sambil merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MBPP, Mohd Suhairi Arumugam Abdullah.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB