30 siswa, pensyarah Hong Kong lawat MPSP

Admin

BUKIT MERTAJAM – Lebih 30 mahasiswa dari College University of City dekat Hong Kong mengadakan lawatan sambil belajar ke Pulau Pinang, antara lain mengenai tadbir urus mesra pelanggan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di sini baru-baru ini.

Mereka diiringi Pensyarah Jabatan Sains Sosial universiti berkenaan, To Ho- Pong dan Parry Leung Pak Nang.

Pak Nang berkata, tadbir urus MPSP sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) seakan memberi lebih partisipasi kepada pelanggan dalam menentukan hala tuju perbandaran Seberang Perai, berbanding di negaranya.

Justeru, katanya lagi, tidak hairanlah sekiranya para penuntutnya menyimpan cita-cita untuk berkunjung lagi ke Pulau Pinang selepas mengikuti lawatan selama dua hari di negeri berkenaan dan ibu negara, Kuala Lumpur.

Beliau turut memuji pendekatan MPSP dalam menghargai partisipasi pelanggan seperti mengiktiraf peranan ‘MPSP Watch’ menerusi facebook serta aplikasi ‘BetterPenang’ menerusi telefon mudah alih iPhone.

Sebelum itu, mereka saling berinteraksi dengan Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud. Rozali berkata, warga Seberang Perai yang membayar cukai layak menerima hak sebagai pelanggan MPSP.

“Sesetengah orang (PBT) berasa mereka tidak perlu dirujuk kembali untuk sebarang pendapat yang mereka lontarkan.

“Tetapi, kita (MPSP) cuba untuk menjelaskan kepada mereka (pelanggan) bahawa ia (hak untuk memberikan pendapat) itu adalah hak mereka sebagai pembayar cukai dan kita (MPSP) akan melaksanakannya,” ujar beliau di Kompleks Ibu Pejabat MPSP, Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, partisipasi pelanggan menerusi media sosial seperti facebook sebenarnya banyak membantu MPSP menyediakan perkhidmatan terbaik untuk warga setempat.

Maka, beliau memberitahu, setiap pelanggan yang berwajib sebenarnya dianggap sebahagian daripada ‘keluarga MPSP’ sendiri.

Selepas menikmati jamuan tengah hari, delegasi tersebut diramahi oleh Yang Dipertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif.