300 penarik beca dan pemandu teksi, e-hailing terima vaksin

Admin
KETUA Menteri (berdiri, depan, kanan sekali) diiringi Yeoh Soon Hin (berdiri, depan, kiri sekali) semasa melawat program outreach vaksinasi COVID-19 kepada penarik beca dan pemandu teksi dan Grab di Dewan Sri Pinang tengah hari tadi.

GEORGE TOWN – Seramai 165 penarik beca, 110 pemandu teksi dan 25 pemandu Grab hari ini menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 peringkat Daerah Timur Laut.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa pihaknya berharap program outreach vaksinasi COVID-19 secara pusat sehenti dilaksanakan oleh Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) serta agensi berkaitan dapat dirancakkan lagi.

“Di peringkat negeri (Pulau Pinang), kita pun memulakan inisiatif baharu seperti outreach, seperti pada pagi ini yang mana unit bergerak akan sampai ke tempat-tempat dan lokasi supaya kelompok yang kecil melibatkan bilangan sekitar 300 hingga 400 orang dapat menerima suntikan vaksin secara jumpa terus.

“(Program outreach vaksinasi COVID-19) ini merupakan strategi yang baru supaya rakyat kita menerima vaksin,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi pada program berkaitan dekat Dewan Sri Pinang di sini pada 25 Julai 2021.

Menurut Kon Yeow, sehingga semalam, kira-kira 18 peratus populasi dewasa di negeri ini telahpun lengkap mendapatkan dua dos suntikan vaksin.

“Kita (Kerajaan Negeri) anggarkan boleh ‘habis’ (40 peratus populasi dewasa lengkap mendapat dua suntikan) dalam minggu ketiga bulan Ogos, sebab apa yang disuntikkan pada hari ini, 21 hari kemudian akan terima suntikan dos kedua.

“Sementara 100 peratus (populasi dewasa Pulau Pinang) mendapatkan dos pertama itu berdasarkan makluman CITF (Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19) dengan mengatur pembekalan (jumlah vaksin yang diterima bagi bulan Julai dan Ogos),” ulasnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Sebelum itu, Soon Hin yang juga ADUN Paya Terubong memberitahu bahawa selain operasi pemberian vaksin secara jumpa terus, pusat sehenti di Dewan Sri Pinang pada hari ini turut menawarkan perkhidmatan gunting rambut, pemeriksaan kesihatan penuh, kemudahan memproses lesen khusus kepada penarik beca serta acara agihan bakul makanan kepada semua termasuk pemandu teksi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : CHAN KOK KUAN