33 Persatuan Bomba dan Penyelamat Sukarela masing-masing terima RM10,000 sumbangan

Admin
KETUA Menteri (tengah) diiringi Phee Boon Poh (kanan sekali) menyampaikan sijil penghargaan dan bendera ❤️ Penang kepada wakil salah sebuah Persatuan Bomba dan Penyelamat Sukarela dalam majlis berkaitan di Padang Kota Lama di sini pada 1 Julai 2022.

GEORGE TOWN – Segala pengorbanan dan komitmen 33 Persatuan Bomba dan Penyelamat Sukarela yang selama ini bergerak secara aktif di Pulau Pinang diakui meningkatkan rasa tenteram, selamat dan sejahtera dalam kalangan komuniti lokal.

Sambil menzahirkan mesej tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya bersetuju menyampaikan sumbangan keseluruhan berjumlah RM330,000 atau RM10,000 masing-masing kepada Persatuan Bomba dan Penyelamat Sukarela layak di negeri ini.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan demikian dalam Acara Jamuan Petang dan Majlis Penghargaan Persatuan Bomba dan Penyelamat Sukarela Negeri Pulau Pinang di perkarangan Padang Kota Lama dekat sini pada 1 Julai 2022.

“Sesungguhnya, majlis pada hari ini diadakan bagi meraikan kesemua 33 Persatuan Bomba dan Penyelamat Sukarela aktif atas segala pengorbanan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat di negeri Pulau Pinang ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Di samping itu, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pulau Pinang, Yang Setia Saadon Moktar kerana selama ini begitu banyak membantu Persatuan Bomba dan Penyelamat Sukarela negeri dalam mengembangkan keanggotaan serta kemahiran ‘pasukan tindakan awal’ pada peringkat lapangan.

Sebelum itu, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada Kon Yeow yang selama ini begitu menyokong gerakan sukarelawan Persatuan Bomba dan Penyelamat Sukarela Negeri Pulau Pinang terutama semasa ekspedisi bantuan pasca banjir ke negeri Pahang dan Selangor pada hujung tahun lepas.

“Bagi saya, majlis pada petang ini sekali gus melambangkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang begitu prihatin atas jasa semua anggota Persatuan (Bomba dan Penyelamat Sukarela Negeri Pulau Pinang) selama ini,” ulasnya yang juga ADUN Sungai Puyu.

Selepas itu, Kon Yeow menyerahkan cek replika sumbangan Kerajaan Negeri berjumlah RM330,000 kepada Boon Poh yang juga Penasihat Persatuan Bomba dan Penyelamat Sukarela Negeri Pulau Pinang.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merangkap ADUN Sungai Bakap, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah; beberapa Ahli Parlimen; Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan barisan Ahli Majlis bagi kedua-dua pihak berkuasa tenpatan (PBT) turut sertai majlis tersebut.

Mereka bersama-sama Kon Yeow dan Boon Poh menyempurnakan acara penyerahan sijil penghargaan serta bendera ❤️ Penang kepada semua wakil Persatuan Bomba dan Penyelamat Sukarela Negeri Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD