GEORGE TOWN – Seramai 344 orang pelajar daripada pelbagai peringkat pengajian telah menerima manfaat Bantuan Pendidikan yang disalurkan oleh Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP) sepanjang tahun 2025, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan lembaga tersebut dalam memperkasa pendidikan dan pembangunan modal insan.
Menurut Ahli Dewan Negara (Senator), Dr. R.A. Lingeshwaran, inisiatif pendidikan seperti ini amat penting dalam memastikan golongan pelajar, khususnya daripada latar belakang kurang berkemampuan, tidak tercicir daripada arus pendidikan.
Pendidikan merupakan asas utama kepada pembangunan individu dan masyarakat.
“Usaha berterusan oleh Lembaga Wakaf Hindu ini amat saya hargai kerana ia memberi peluang kepada pelajar untuk terus melangkah ke hadapan tanpa dibebani kekangan kewangan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sesi ketujuh pelaksanaan inisiatif pendidikan LWHPP bagi tahun 2025 di Komtar baru-baru ini, yang menyaksikan seramai 38 orang pelajar pelbagai peringkat pengajian menerima Bantuan Pendidikan secara one-off melibatkan peruntukan berjumlah RM37,700.
Hadir sama, Pengerusi LWHPP yang juga Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; Ahli Lembaga LWHPP merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, K. Kumaran serta barisan Ahli Lembaga LWHPP.
Tambah Lingeshwaran lagi, sokongan terhadap pendidikan perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang demi masa depan negara.
“Apabila kita melabur dalam pendidikan, kita sebenarnya sedang membina asas kepada sebuah masyarakat yang lebih berpengetahuan, berdaya saing dan sejahtera,” katanya.
Selain bantuan pendidikan, LWHPP turut menyalurkan bantuan kebajikan kepada dua buah keluarga pesakit yang sedang menjalani rawatan, sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat.
“Saya mendoakan agar sumbangan yang sederhana ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga-keluarga berkenaan dan memberi sedikit kelegaan dalam menghadapi ujian yang dialami,” tambah beliau.