Konsep tumpu 5 teras mampu pacu masa depan negeri

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B.  Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa terrdapat lima konsep ‘penumpuan’ utama yang wajar dipraktikkan Kerajaan Negeri sebagai pemangkin kemajuan ekonomi Pulau Pinang.

Menurutnya, perkara pertama yang ingin  digariskan beliau adalah membina kekuatan dalam sektor pembuatan yang juga konsep paling utama di negeri ini.

“Pulau Pinang mempunyai banyak  pengeluar yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa. Keyakinan pelabur telah menyebabkan banyak syarikat antarabangsa seperti Intel Technology Sdn. Bhd. (INTEL) bertindak menempatkan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D)
masing-masing di sini (Pulau Pinang).

“Serentak itu, pembukaan ‘Jambatan Kedua Pulau Pinang’ yang menghubungkan Batu Maung dan Batu Kawan juga memberi lebih ruang untuk sektor pembuatan berteknologi tinggi serta pengangkutan di sini,” ucapnya ketika merasmikan Forum dan Majlis Makan Tengah Hari Dewan Perniagaan & Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) Bahagian Utara di sini baru-baru ini.

Hadir sama pada penganjuran bertemakan Penumpuan – Menuju Masa Depan Pulau Pinang tersebut adalah Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.

Majlis anjuran kali kedua di sini adalah bertujuan mengumpulkan para ahli MCCI dengan tujuan mengeratkan hubungan serta bertukar-tukar pendapat dalam memajukan perniagaan masing-masing.

Tambah Guan Eng, syarikat pembuatan komputer, Dell (Malaysia) Sdn. Bhd. (DELL) yang bertapak di Pulau Pinang sebagai kilang pembuatan pada peringkat permulaan kini telah membuka hab perkhidmatan.

“Penumpuan syarikat besar di Pulau  Pinang juga tidak terhad kepada DELL sahaja apabila INTEL, Advance Micro Devices Sdn. Bhd. (AMD) dan First Solar Inc. Sdn. Bhd. (FIRST SOLAR) turut meletakkan pengurusan sumber manusia masing-masing di Pulau Pinang,” jelas beliau.

Guan Eng memberitahu, konsep lain yang turut ditekankan adalah kepelbagaian budaya dan seni yang unik di Pulau Pinang; modal insan yang baik; pentadbiran Kerajaan Negeri yang baik serta persekitaran negeri antara yang terbaik untuk diduduki.

“Tema penumpuan berdasarkan lima teras yang digariskan dilihat mampu memacu masa depan Pulau Pinang dalam menjadi sebuah negeri pintar, moden, berpendapatan tinggi dan antarabangsa sebagaimana dihasratkan Kerajaan Negeri,” seru beliau.