350 usahawan mikro layak bakal terima set peranti komputer

GEORGE TOWN – Seramai 350 usahawan layak telah dikenal pasti bagi menerima set peranti komputer secara berfasa di bawah Skim Perintis Program Usahawan Mikro Go Digital.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa inisiatif tambahan itu menyasarkan usahawan mikro yang terjejas ekoran impak pandemik COVID-19 dengan membabitkan peruntukan keseluruhan RM320,950.

“Pandemik COVID-19 telah mengubah tuntutan dan kehendak trend perniagaan serta membataskan aktiviti perniagaan secara fizikal sekali gus melekaskan proses pendigitalan di seluruh dunia.

“Justeru, 350 set peranti komputer yang disediakan ini dapat memudahkan urusan transaksi perniagaan secara digital dan adalah diharapkan agar para usahawan mikro dapat merebut peluang besar ini untuk meningkat serta melonjakkan aktiviti perniagaan masing-masing,” katanya pada sidang media bersempena majlis sumbangan yang diadakan khas di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Chong Eng (Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam) dan Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar (Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, PDC).

Sebagai simbolik, tiga usahawan mikro telah dijemput untuk menerima set peranti komputer pada majlis penyerahan berkaitan, manakala, baki pengagihan akan dilakukan secara berperingkat yang mana setiap sesi bakal melibatkan 10 penerima sehingga selesai pemberian keseluruhan 350 unit set peranti komputer dalam tempoh terdekat.

Bercakap pada sidang media sama, Abdul Halim memberitahu bahawa pemberian bantuan tambahan berkenaan adalah di bawah inisiatif Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pembangunan Keusahawanan lanjutan daripada program sebelum ini yang berjaya memanfaatkan 1,300 usahawan.

“Sebanyak 1,808 borang permohonan telah diterima oleh PDC selaku sekretariat bagi skim ini.

“Justeru, susulan set peranti yang terhad, pihak PDC akan melakukan pemilihan berdasarkan enam kategori dikenal pasti merangkumi produk, perniagaan dalam talian, pakaian, makanan dan minuman, runcit serta perkhidmatan dan keutamaan akan diberikan kepada mereka yang telah menghadiri kursus di bawah MMK Pembangunan Keusahawanan sebelum ini,” ulasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI