365 ‘Wira Oren’ korban sambutan Aidiladha, laksana pembersihan demi keselesaan warga Seberang Perai

PENANTI – Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud menzahirkan ucapan syabas kepada 365 ‘Wira Oren’ pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan yang terpaksa mengorbankan sambutan Hari Raya Aidiladha demi melaksanakan kerja pembersihan akibat Taufan Lekima sejak 9 Ogos lalu.

“Sebanyak 412 batang pokok telah dilaporkan tumbang di 343 lokasi.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 395 batang pokok telah dipotong dan dialihkan daripada gangguan lalu lintas serta 252 batang pokok daripadanya telah dibersihkan dan diangkut ke tapak pelupusan.

“Selain itu, dalam tempoh 12 jam, kita (MPSP) telah berjaya mengalihkan semua pokok-pokok yang menghalang lalu lintas dengan bantuan tujuh pasukan Community Emergency Response Team (CERT) di seluruh Seberang Perai,” katanya semasa turun padang melihat kerja-kerja pembersihan yang dijalankan di Kubang Semang baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Rozali turut menasihati warga Seberang Perai agar tidak membuang sampah kerana ia akan menyukarkan lagi kerja-kerja pembersihan terutamanya ketika waktu hujan.

“Saya memberi jaminan kepada penduduk (Seberang Perai) bahawa kita (MPSP) mempunyai tenaga kerja yang cukup dalam menghadapi bencana.

“Namun, dalam masa sama Majlis mengharapkan kerjasama dan kesedaran sivik daripada penduduk Seberang Perai untuk bersama-sama menjaga alam sekitar,” ujarnya lagi.

Sementara itu, wartawan Buletin Mutiara, SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS dan NUR AMIRAH HUSNA ROSLAN sempat menemubual beberapa ‘Wira Oren’ bagi menyelami perasan mereka.

Bagi NAZARI RAHIM, 48, menganggap tugasnya untuk membersihkan kawasan terjejas akibat daripada Taufan Lekima sebagai suatu pengorbanan ketika umat Islam lain meraikan Hari Raya Aidiladha.

“Hari Raya Korban ini, kami (MPSP) dikira sebagai berkorban juga… saya memang bekerja pada hari kejadian sampailah hari ini meliputi kawasan Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

“Kami (MPSP) membuat kerja-kerja pembersihan terutama bagi mengalihkan pokok-pokok tumbang yang mengakibatkan kerosakan bumbung dan juga menghalang lalu lintas,” ujarnya yang sudah lapan tahun berkhidmat dengan PBT berkenaan.

MOHD ALLIF YUSOH, 33, turut berkongsi pengalaman sama apabila terpaksa bekerja pada Aidiladha lalu, namun menyifatkan itu sebagai tanggungjawab beliau demi keselesaan orang ramai.

“Dalam jam 10:30 malam, tiba-tiba ribut pun melanda kawasan ini dan saya bersama-sama rakan-rakan yang lain sudah bersiap sedia jika ada pokok tumbang dan sebagainya, apabila dimaklumkan sahaja kami pun mulakan tugasan dari malam kejadian sehingga ke hari ini.

“Sambut Hari Raya Aidiladha pun di tempat kerja memandangkan kampung saya hanya di Pengkalan Tambang,” ujarnya.

Manakala, MOHD SUFIAN ISHAK, 32, turut berkongsi pengorbanan yang dilakukan beliau sepanjang berkhidmat selama tujuh tahun dengan MPSP.

Katanya, semasa kejadian ribut tersebut, beliau sememangnya berada di rumah yang sejurus kemudian mendapat panggilan daripada Ketua Jabatannya untuk bertugas.

“Hingga ke hari ini saya bersama-sama rakan-rakan yang lain masih menjalankan operasi pembersihan seperti memotong pokok tumbang.

“Hari raya pula,seperti rakan-rakan lain kami tidak beraya dan tugas itu merupakan satu pengorbanan buat kami, alhamduillah, keluarga saya memahami tugas dan tanggungjawab sebagai salah seorang pekerja bahagian pengurusan krisis,” luah beliau.