Kerajaan Negeri dalam usaha kenal pasti kawasan berpotensi perluas tanaman nanas & kelapa – Exco

SEBERANG JAYA – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin memberitahu, Kerajaan Negeri kini dalam usaha mengenal pasti beberapa kawasan berpotensi untuk dijadikan sebagai tapak pertanian bagi tanaman nanas dan kelapa.

“Buat masa ini, ada beberapa kawasan yang kita (Kerajaan Negeri) telah dikenal pasti termasuk di Balik Pulau untuk bahagian pulau, dan Juru serta Batu Kawan (Seberang Perai).

“Untuk makluman, pada masa ini, Pulau Pinang telah keluarkan sebanyak 254 metrik tan kelapa untuk 2017 dengan keluasan tanah seluas 39 hektar.

“(Dan) untuk nanas pula, kita sudah keluarkan sebanyak 3,498 metrik tan dengan jumlah kawasan tanaman hanya seluas 138 hektar.

“Justeru, Kerajaan Negeri berhasrat untuk tingkatkan lagi pengeluaran bagi kedua-dua jenis tanaman ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kursus Menerokai Sumber Rezeki Baru Pertanian Bagi Industri Kelapa & Nanas Negeri Pulau Pinang anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dekat Safira Country Club di sini sebentar tadi.

Antara jenis-jenis nanas dan kelapa yang dipamerkan semasa kursus berlangsung.

Hadir sama, Ketua Pengarah FAMA Malaysia, Datuk Ahmad Ishak; Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Mohd. Khairul Zamri Mohd. Salleh; Pengarah FAMA Pulau Pinang, Habibah Sulaiman; Pengarah LPNM Pulau Pinang, Zainuddin Mohammed; Pengarah FAMA Negeri Kedah, Anuar Mohamad; Pengarah FAMA Perlis, Faizal dan serta ramai lagi.

Mengulas lanjut, Afif berkata, Kerajaan Negeri juga sedang mengkaji untuk memperluaskan Tapak Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda sebagai kawasan penanaman nanas memandangkan tanah berkenaan dimiliki oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).

“Kita (Kerajaan Negeri) akan kenal pasti potensi kawasan ini untuk dijadikan sebahagian daripada kawasan “Green Valley” bagi negeri Pulau Pinang.

“Apa yang penting buat masa ini adalah untuk meningkatkan jumlah penyertaan dan menggunakan kawasan-kawasan tanah berpotensi bagi dijadikank lokasi tanaman nanas,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Khairul menjelaskan, selain mendapat permintaan tinggi di pasaran dalam dan luar negara, nanas juga merupakan tanaman yang tahan lasak dan berdaya tahan terhadap penyakit.

“Setakat ini, kalau tanaman nanas dari segi penyakit tidak ada penyakit kritikal yang membawa kepada pemusnahan secara besar-besaran, dan kalau ada pun hanya penyakit biasa yang terkawal,” jelasnya ketika ditanya mengenai risiko penyakit yang boleh menyerang tanaman berkenaan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : K. THAARSHENII