Pulau Pinang mampu lahirkan lebih ramai ‘student-athletes’

Admin
d95e8603 ce8d 457f aef4 9b7feee6e555

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan atlet dan belia menerusi penganjuran Majlis Makan Malam Amal dan Bidaan Karya Seni (Inaugural Gala Dinner & Art Auction Fundraising Event) 2026 di sini sebentar tadi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, penganjuran majlis tersebut membuktikan bahawa seni dan sukan mampu bergerak seiring sebagai medium pembangunan masyarakat secara holistik.

“Seni merupakan bahasa jiwa, manakala sukan adalah disiplin raga, yang mana gabungan kedua-duanya diterjemahkan kepada dana pembangunan sukan sekaligus mempraktikkan teras Kesejahteraan dan Ihsan dalam gagasan Malaysia Madani.

“Apabila bidaan karya seni pada malam ini diterjemahkan kepada dana pembangunan sukan, kita sebenarnya sedang menggunakan kreativiti untuk membina modal insan menerusi sukan.

49f21367 a902 44f8 90e5 e9c6ac806fe0

“Inilah pembangunan holistik yang kita perjuangkan, iaitu bakat belia bukan sahaja diasah di padang, tetapi turut disokong oleh ekosistem komuniti yang peduli, bagi memastikan visi ini menjadi realiti, Kerajaan Negeri menterjemahkan komitmen tersebut melalui sokongan fiskal yang kukuh,” ujarnya pada majlis tersebut.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib; barisan kepimpinan Kerajaan Negeri, penggiat seni, atlet dan rakan-rakan strategik.

Menurut Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi, di bawah Belanjawan 2026, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM7 juta kepada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) khusus untuk pembangunan atlet, selain RM7 juta tambahan kepada Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang bagi menaik taraf fasiliti sukan negeri.

Tambah beliau, sasaran kutipan RM400,000 malam ini adalah pelengkap kepada misi besar Program Pembiayaan IMPACT yang mensasarkan dana keseluruhan RM3 juta.

“Dana ini adalah tiket untuk atlet muda kita memperoleh pencapaian sukan terbaik, malah juga jaminan kebajikan melalui program seperti Penang Athlete, Career & Education (PACE).

“Kita mahu atlet Pulau Pinang tahu bahawa Kerajaan Negeri bukan sahaja menghargai keringat mereka semasa menjulang pingat, malah turut komited menyediakan pelan pendaratan terbaik melalui pendidikan dan kerjaya,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Difahamkan pada Disember 2025, seramai 164 atlet menerima insentif PACE berjumlah RM175,377, manakala pada April 2026 seramai 121 atlet lagi menerima manfaat sama sebagai kesinambungan sokongan kepada pembangunan atlet negeri.

Kon Yeow dalam pada itu turut optimis bahawa Pulau Pinang mampu melahirkan lebih ramai ‘student-athletes’ yang seimbang dari segi akademik serta prestasi sukan menjelang SUKMA Selangor 2026.

“Kita mahu model pembangunan belia Pulau Pinang menjadi contoh iaitu seimbang dari segi fizikal, cemerlang dari segi intelektual dan berintegriti dalam sahsiah,” ujarnya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN

Video : DARWINA MOHD. DAUD