4.69 juta benih ikan dilepaskan, tingkat populasi ikan

004cc2ad 597b 439f a464 43c7c4dfe948

BATU MAUNG – Bagi menjamin kelestarian sumber serta bekalan hasil perikanan, sebanyak 4.69 juta benih ikan telah dilepaskan di perairan Pulau Jerejak menerusi Program Pelepasan Benih Ikan anjuran Pejabat Perikanan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Kerajaan Negeri melalui MMK Agroteknologi & Keterjaminan Makanan.

Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata bahawa inisiatif tersebut dijangka bakal memberi manfaat secara langsung kepada 5,242 nelayan berlesen di seluruh negeri.

“Kerajaan Negeri komited melaksanakan program pelepasan benih ikan di perairan Pulau Jerejak ini sebagai usaha meningkatkan sumber populasi ikan.

“Inisiatif ini bukan sahaja mampu menambah hasil tangkapan nelayan tempatan, malah turut meningkatkan pendapatan mereka secara berterusan.

“Selain memberi manfaat ekonomi, program ini juga penting untuk mengekalkan keseimbangan ekosistem marin dan sungai sekali gus menjamin pemuliharaan hasil laut untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak berkata demikian ketika menghadiri program berkenaan di Sangkar Ikan HLY dekat perairan Batu Maung di sini pada 28 Ogos 2025.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung, Dr. Kua Beng Chu dan Pengarah Perikanan Negeri, Zarina Zainuddin.

Menurut Fahmi, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM880,000 bagi pelaksanaan program itu.

“Bagi pelepasan di laut, sebanyak 230,000 ekor udang harimau, 52,000 ekor ikan siakap serta 3.1 juta ekor kerang (bersamaan 15.5 tan metrik) telah dilepaskan.

“Manakala bagi pelepasan di sungai, ia melibatkan tiga lokasi utama iaitu Sungai Muda, Sungai Perai dan Sungai Kerian dengan jumlah pelepasan meliputi 160,000 ekor ikan baung, 190,000 ekor ikan lampam sungai serta 960,000 ekor udang galah,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Fahmi memaklumkan bahawa hasil tangkapan nelayan dijangka meningkat dari 15 sehingga 20 peratus dalam tempoh setahun, dengan peningkatan pendapatan purata para nelayan pula sebanyak RM300 hingga RM500 sebulan.

“Kerajaan Negeri yakin dengan sokongan semua pihak, inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan taraf hidup nelayan tempatan, malah turut memastikan kelestarian sumber perikanan.

“Justeru, diharapkan keseimbangan ekosistem marin dan sungai dapat terus dipelihara demi kesejahteraan generasi akan datang,” jelasnya.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : PEJABAT EXCO