400 pekerjaan baharu wujud jika BCVC, tiga syarikat semikonduktor dari Republik Rakyat China putus labur di Pulau Pinang

Admin
48e2640b 01d8 4d20 a765 58e093a24d4a KETUA Menteri (tiga dari kiri) saling berjabat tangan dengan Nelson Koay selepas sesi temu bincang dan sidang media di sini pada 27 April 2024.

PULAU TIKUS – Perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan Republik Rakyat China mengakibatkan rantau Asia Tenggara termasuk negeri Pulau Pinang di Malaysia mempunyai potensi menarik pelaburan langsung asing (FDI) sejagat.

ffbe1d3d d292 4bd2 92c1 25f621550e61
KETUA Menteri

Bercakap mengenai pelaburan dalam sektor semikonduktor negara, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Pulau Pinang dengan jolokan ‘Lembah Silikon Timur’ adalah antara negeri pilihan pelaburan utama.

Sehubungan itu, beliau berharap Blue Chip Venture Capital (BCVC) sebagai firma pemodal pelaburan dapat memainkan peranan hakikinya membawa pelabur berpotensi untuk melabur di negeri ini.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian kepada Rakan Kongsi Terhad merangkap Ahli Lembaga BCVC, Datuk Seri Nelson Koay pada sidang media di sini 27 April 2024.

Beberapa tonggak utama BCVC seperti C.K. Tan (Ketua Pegawai Operasi), Tan Pey San (Pentadbir dan Pengurus Kewangan), Yoa Hua (Pengurus Bersama) dan beberapa ahli korporat lain turut sertai sidang media bersama tersebut.

“Blue Chip Venture Capital merupakan sebuah syarikat dana yang terdiri daripada individu berpengalaman dalam sektor (semikonduktor) ini, dan mereka sedang melihat peluang untuk melabur sendiri ataupun bet kolaborasi dengan firma pemodal dari lain-lain negara.

“Sebagai sebuah syarikat usaha sama modal yang memang melabur dalam syarikat tertentu, sebenarnya memang boleh membawa syarikat yang mereka melabur itu ke Malaysia.

“Seperti Blue Chip Venture Capital (BCVC) telah membuat pelaburan menarik dalam beberapa syarikat, antaranya tiga buah syarikat berkenaan (yang mana) sedang memulakan proses untuk memuktamadkan rancangan mereka untuk melabur.

“Kita (Kerajaan Negeri) berharap beliau (Nelson Koay) menjana keyakinan syarikat-syarikat pelaburan berkenaan untuk melabur di Pulau Pinang,” jelasnya lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Menjawab soalan pemberita, Kon Yeow memberitahu bahawa sehingga kini BCVC masih dalam proses membuat keputusan pelaburan berwajib seperti melihat bentuk insentif pelaburan yang ditawarkan oleh agensi Persekutuan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk melabur di negara ini termasuk Pulau Pinang.

8003a94c fd69 4d0f 9a47 649314e1267e
NELSON Koay

Sebelum itu, Nelson Koay memberitahu bahawa pelaburan modal BCVC adalah dalam China Wafer Level CSP Co. (WLCSP), Ningbo SJ Electronic Co. (SJE) dan Wuxi AMTE Inc. (AMTE).

Menurut beliau, ketiga-tiga syarikat berkaitan semikonduktor yang berpengkalan di negara Republik Rakyat China itu dalam proses memuktamadkan pelaburan mereka di negara ini termasuk Pulau Pinang.

“Nilai pelaburan jika digabungkan ketiga-tiga syarikat semikonduktor ini adalah kira-kira 100 juta Dolar Amerika Syarikat (USD),” ujarnya.

Tambah Nelson Koay, bukan sahaja akan berlaku pemindahan teknologi baharu berkaitan sektor semikonduktor ke negeri ini, malah turut akan mencipta kira-kira 300 hingga 400 peluang kerjaya berkualiti baharu jika Pulau Pinang dipilih sebagai destinasi pelaburan mereka.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : SIEW CHIA EN