40,000 rakyat Pulau Pinang akan jalani saringan komuniti fasa 1

Admin

DATOK KERAMAT – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menjalankan program ujian saringan komuniti bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 di negeri.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa seramai 40,000 penduduk di negeri ini dari semua 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) akan menjalani saringan bagi fasa pertama.

Jagdeep Singh Deo semasa melakukan pemeriksaan mengejut di Pasar Awam Jalan Kuantan, di sini pagi tadi.

Beliau berkata, program saringan besar-besaran tersebut akan membabitkan kos berjumlah hampir RM3 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

“Seramai 1,000 orang dari setiap KADUN yang dikenal pasti sebagai kumpulan berisiko tinggi akan dipilih untuk menjalani saringan ini bagi fasa pertama.

“Program ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri seperti mana yang dilaksanakan di Selangor, sementara menunggu bekalan vaksin tiba di negara kita,” ujarnya pada sidang media selepas melakukan pemeriksaan mengejut di Pasar Awam Jalan Kuantan, di sini pagi tadi.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong; ADUN Komtar, Teh Lai Heng serta beberapa pegawai penguatkuasaan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Jagdeep mengadakan sidang media sejurus selepas melakukan pemeriksaan di pasar awam berkaitan.

Serentak itu kata Jagdeep, satu jawatankuasa penyelarasan telah dibentuk bagi mengenal pasti makanisme pelaksanaan program tersebut termasuk cara mengenal pasti mereka yang layak untuk menjalani ujian saringan.

“Dalam mesyuarat (Exco) semalam, Ketua Menteri minta saya ketuai program ini dengan dibantu oleh semua pihak termasuk KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), PSUK (Pejabat Setiausaha Kerajaan) serta semua wakil rakyat di negeri ini.

“Selain itu, program ini juga akan melibatkan sebahagian kakitangan awam, Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Kewangan Negeri serta beberapa wakil rakyat dari Selangor sebagai penasihat memandangkan mereka memulakan program ini lebih awal.

“Kita faham, bukan mudah untuk melaksanakan program ini, jadi kita akan keluarkan satu makanisme tidak lama lagi dan berharap agar program ini dapat dimulakan dalam masa dua minggu lagi,” ulasnya.

Pada sidang media sama, Jagdeep turut menggesa Kerajaan Persekutuan supaya membentangkan pakej rangsangan ekonomi baharu untuk rakyat di negara ini termasuk Pulau Pinang susulan pelaksanaan ‘total lockdown’ pada 1 hingga 14 Jun ini.

“Semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 selama 47 hari mulai 18 Mac 2020, Kerajaan Persekutuan mengumumkan bantuan ekonomi (Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat) berjumlah RM250 bilion untuk seluruh negara.

“Ini kerana pelaksanaan ‘total lockdown’ akan menjejaskan banyak pihak, jadi untuk kali ini juga kita minta Perdana Menteri mengumumkan satu lagi pakej bantuan ekonomi secepat mungkin khususnya bagi rakyat Pulau Pinang.

“Semua orang sedang gelisah sekarang ini dan diharapkan dengan bantuan ekonomi yang diumumkan nanti akan dapat menenangkan hati rakyat yang telah sekian lama terjejas daripada segi pendapatan mereka,” gesa beliau lagi.

Jagdeep yang juga Ahli ADUN Datuk Keramat berkata, sebagai antara negeri penyumbang tertinggi kepada Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK) negara, Pulau Pinang sememangnya layak menerima jumlah bantuan lebih tinggi melalui pakej bantuan baru tersebut.

“Kita harap Pulau Pinang akan menerima sekurang-kurangnya RM130 juta seperti mana tahun lepas atau lebih lagi untuk membantu semua sektor yang terkesan di negeri ini,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI