GEORGE TOWN – Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi penempatan dan pemuliharaan Koleksi Rangka Guar Kepah dalam usaha memperkukuh kerjasama memelihara khazanah warisan arkeologi negara.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long berkata, detik bersejarah itu membuktikan komitmen bersepadu antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Jabatan Warisan Negara serta institusi akademik tempatan dan antarabangsa.
“Kerjasama ini bukan sekadar melibatkan pemulangan artifak, tetapi merangkumi tanggungjawab jangka panjang bagi memastikan koleksi rangka ini ditempatkan, dipelihara dan dikaji mengikut piawaian profesional.
“Pemulangan 41 bahagian rangka yang dikenali sebagai Koleksi Rangka Guar Kepah membawa nilai signifikan kepada Pulau Pinang dan negara kerana ia mengembalikan khazanah warisan ke konteks asalnya, sekali gus membuka ruang kepada kefahaman yang lebih mendalam mengenai kehidupan masyarakat prasejarah di rantau ini,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Koleksi Rangka Guar Kepah kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Komtar, sebentar tadi.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot; Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Zabidah Safar; Pesuruhjaya Warisan, Jabatan Warisan Negara, Muhamad Muda Bahadin; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Mohamed Abdul Rahman serta Timbalan Pesuruhjaya Warisan, Jabatan Warisan Negara, Ruzairy Arbi.
Turut serta, Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI), Datin S. Bharathi; Pemangku Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Nasha Rodziadi Khaw; Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang, Ar. Zalena Abdul Aziz; Pengarah MOTAC Pulau Pinang, Dr. Annuar Mohamad; wakil Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) serta pegawai kanan jabatan berkaitan.



Mengulas lanjut, Zulkifli memaklumkan bahawa Galeri Arkeologi Guar Kepah yang telah siap dilengkapi kemudahan konservasi dan penyimpanan akan berperanan sebagai pusat rujukan bagi penyelidikan, pendidikan serta perkongsian ilmu kepada masyarakat.
“Kerajaan Negeri komited memastikan galeri ini dimanfaatkan sepenuhnya, bukan sahaja sebagai ruang pameran, tetapi juga sebagai pusat ilmu yang menyokong penyelidikan dan pendidikan awam,” katanya.
Sementara itu, Shaharuddin menyifatkan pemulangan rangka manusia prasejarah dari Tapak Arkeologi Guar Kepah sebagai satu pencapaian besar negara.
“Koleksi yang sebelum ini disimpan di Belanda tiba di Malaysia pada 30 Ogos 2025, sehari sebelum sambutan Hari Kebangsaan, menjadikan kepulangannya sebagai simbol kedaulatan dan maruah warisan negara.
“Tapak Arkeologi Guar Kepah merupakan tapak arkeologi pertama negara yang diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan wajar dipelihara mengikut piawaian antarabangsa.
“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat pelbagai agensi Persekutuan dan Negeri serta rakan antarabangsa dan galeri berkenaan berpotensi menjadi produk arkeo-pelancongan utama negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT