41 rangka manusia berusia 6,000 tahun, ‘Penang Women’ mungkin berkaitan – Mokhtar Saidin

Admin
MOKHTAR Saidin semasa membentangkan beberapa dapatan susulan jumpaan rangka ‘Penang Women’ di Guar Kepah, dalam majlis berkaitan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

SEJUMLAH 41 rangka berusia antara 5,000 hingga 6,000 tahun yang ditemukan di Guar Kepah serta disimpan rapi di Collection Centre Netherlands, Belanda sejak pertengahan 1930-an, akan dibawa pulang pada Januari tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Panel Pakar Pembangunan Guar Kepah, Prof. Datuk Dr. Mokhtar Saidin berkata Kerajaan Belanda pada tahun 2021 telah mengeluarkan notis pengisytiharan berkaitan hasrat memulangkan semua sumber artifak yang disimpan ke negara asal ia ditemukan.

“Kerajaan Belanda telah bersetuju untuk menyerahkan rangka berkenaan, susulan lawatan kerja Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke negara tersebut pada bulan Mac baru-baru ini,” jelasnya.

Ahli akademik Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata demikian semasa bersyarah dalam Bicara Arkeologi, Menjejaki Rangka Neolitik Berusia 5,000 hingga 6,000 Tahun Dari Guar Kepah Ke Leiden, Belanda.

Dalam sesi yang berlangsung di Kuala Lumpur, beliau berkata, misi membawa pulang sumber artifak tersebut boleh dianggap penting bagi negara ini terutama negeri Pulau Pinang.

Ini kerana, menurut beliau, ia adalah satu-satunya bukti tapak neolitik di tanah air ini, yang ditemukan di kawasan perkuburan Bukit Kerang dekat Guar Kepah.

“Semua rangka tersebut masih berada dalam simpanan serta dijaga baik di Collection Centre Netherlands, Belanda sejak ia dibawa ke sana antara tahun 1936 hingga 1960.

“Pasukan kita telah pergi ke Belanda untuk melihat semua rangka itu.

“Ia (kesemua 41 rangka manusia berusia antara 5,000 hingga 6,000 tahun) akan dibawa balik (ke Malaysia) sejurus Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah (dekat Seberang Perai, Pulau Pinang) siap sepenuhnya nanti,” jelasnya lagi.

Beliau memberitahu bahawa kesemua rangka bersejarah itu akan melalui perjalanan sekitar 25,000 kilometer (km) ke negara ini.

Difahamkan, rangka-rangka manusia bersejarah itu dibawa ke Belanda pada tahun 1936 serta dianalisis dalam tempoh masa antara tahun 1960 hingga 1996, masing-masing di Utrecht University dan Natural History Museum Rotterdam.

Dua pengkaji bertanggungjawab dalam melakukan kajian berkaitan semasa itu, iaitu Jacobs Teuku dan Dr. Francis David Bullbeck.

Kini, rangka-rangka tersebut telahpun diserahkan dalam empat kotak yang mempunyai kod-kod tersendiri.

Rangka artifak seperti tulang, gigi serta tengkorak yang dipercayai milik individu dewasa, remaja dan kanak-kanak antara yang diletakkan dalam kotak-kotak tersebut.

Mengulas lanjut, Mokhtar berkata sebaik sahaja semua artifak itu sampai ke nagara ini, pasukannya akan membuat kajian lanjutan.

“Kajian terperinci akan dilaksanakan bagi mengenal pasti beberapa perkara berkaitan, antaranya pentarikhan, punca kematian dan diet (pemakanan).

“Sebaik sahaja ia dibawa pulang, kita akan menjalankan analisis khas pada bahagian gigi untuk menentukan sama ada ia ada kesan ‘pinang’ atau sebaliknya,” katanya.

Tambah beliau, kajian lain yang turut akan dijalankan secara saintifik terhadap gigi yang ditemukan bagi membuktikan amalan pemakanan individu manusia bersejarah tersebut.

“Kita akan membuat kajian termasuk pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer untuk memastikan sama ada betul ia disebabkan ‘pinang’ ataupun sengaja ia disapu dengan bahan mineral merah hematit.

Dalam perkembangan berkaitan, Mokhtar berkata penemuan rangka manusia ‘Penang Women’ di Guar Kepah pada tahun 2017 akan membuka peluang pada hasil-hasil kajian sedia ada pada rangka manusia berusia antara 5,000 hingga 6,000 tahun yang dibawa pulang dari Leiden, Belanda kelak.

“Rangka (manusia antara 5,000 hingga 6,000 tahun) ini mungkin mempunyai kaitan dengan rangka manusia ‘Penang Women’ yang ditemukan di Guar Kepah, Kepala Batas pada tahun 2017.

“Masyarakat zaman neolitik di Guar Kepah ketika itu menunjukkan mereka menggunakan alat batu untuk memburu haiwan seperti pelanduk dan kijang.

“Masyarakat ketika itu juga dikenal pasti menghasilkan tembikar tanah dan juga manik daripada tulang sebagai aktiviti ekonomi,” ujarnya lagi.