415 iklan haram ‘kondo mewah’ dikesan, pemilik diberi tempoh 3 hari tampil segera beri penjelasan

GEORGE TOWN – Sebanyak 415  iklan haram kondo mewah telah diturunkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sehingga 27 Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam dan Pelesenan MBPP, Nicholas Theng Jie Wey berkata, kesemua iklan haram tersebut tertumpu di kawasan Air Itam, Paya Terubong dan Jalan Thean Teik sejak 21 Januari lalu.

Katanya, tindakan penguatkuasaan telah dibuat dan pihak Majlis telah menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada setiap pemilik nombor telefon tertera agar hadir ke Bahagian Pelesenan MBPP bagi memberikan penjelasan dalam tempoh tiga hari bermula semalam (30 Januari 2020).

“Melalui siasatan yang dijalankan, Majlis telah pun mengenal pasti kesemua syarikat yang mempamerkan iklan haram ini yang juga merupakan syarikat agen hartanah di Pulau Pinang.

“Kita (MBPP) berharap mereka (syarikat hartanah) ambil serius kesalahan ini dan tampilkan diri bagi memberikan penjelasan dalam tempoh tiga hari bermula 30 Januari,” ujarnya pada sidang media di Dewan Bandaraya di sini pagi tadi.

Hadir sama Ahli-ahli Majlis MBPP yang menganggotai Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam dan Pelesenan MBPP.

Mengulas lanjut, Jie Wey berkata tindakan diambil mengikut Undang-undang Kecil (Iklan) Majlis Perbandaran Pulau Pinang 2000.

“Sekiranya pemilik syarikat ingkar atau gagal mengikut arahan, mereka boleh dikenakan tindakan kompaun RM250 bagi setiap kesalahan yang dilakukan di mana (kesalahan) akan dikira mengikut jumlah iklan haram yang dipasang.

“Selain itu, tindakan mahkamah juga boleh dikenakan denda RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun jika disabitkan kesalahan.

“Dan, sekiranya gagal, maka nombor telefon tersebut akan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan pemotongan talian,” tegas beliau.

Sebagai rekod, tahun lalu (2019) MBPP telah menurunkan sejumlah 6,779 iklan dan banner haram di sekitar kawasan pentadbirannya.

Justeru, Jie Wey menasihatkan orang ramai dan syarikat- syarikat berkenaan agar membuat pengiklanan dengan menggunakan saluran yang betul dan mengikut undang-undang.

“Tindakan (pemasangan iklan haram) ini bukan sahaja boleh merbahayakan keselamatan umum, malah menjejaskan kecantikan Pulau Pinang,” ujarnya lanjut.

Teks dan Gambar : NORSHAHIDA YUSOFF