43 janji Manifesto PRU14 telah ditepati Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang sehingga kini

GEORGE TOWN – Mengehadkan tempoh penjawatan Ketua Menteri selama dua penggal; melantik Ketua Pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) Negeri; memperuntukkan RM150 juta bagi pelaksanaan projek-projek tebatan banjir dan peruntukan RM15 juta bagi perkhidmatan bas percuma merupakan antara 43 janji Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang telah ditepati oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, 20 janji lagi sedang dilaksanakan termasuk Pakej 2 pembinaan projek Lebuhraya Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu; pemasangan 20,000 tiang lampu LED dan mewujudkan Penang Arts District.

 

“Selain itu, dua janji yang ditangguhkan iaitu Program Penang Sihat dan bantuan kos sara hidup RM1,000 kepada golongan wanita dan ibu daripada keluarga berpendapatan kurang RM2,000 sebulan, kerana pertindihan dengan program Kerajaan Persekutuan iaitu Program MySalam dan PEKA B40 (Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40).

 

KETUA Menteri bersama-sama Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (dua dari kiri), Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy (kanan sekali) dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar sejurus penangguhan persidangan di Dewan Sri Pinang tadi.

“Menuntut pengagihan hasil cukai yang saksama; memohon kebenaran supaya Kerajaan Negeri meluluskan hak milik kekal bagi rumah kos rendah dan sederhana rendah serta pembangunan sekolah menengah Tamil pertama di Malaysia di negeri ini memerlukan kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan,” ujarnya pada sesi penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Keempat Belas Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang dekat sini petang ini.

 

Belanjawan Perkasakan Agama Islam

Bagi pembangunan agama Islam di negeri ini, menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM60.05 juta yang merangkumi perbelanjaan mengurus berjumlah RM32.46 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Jabatan Mufti, Jabatan Kehakiman Syariah dan Jabatan Pendakwaan Syariah yang merupakan jabatan yang baru ditubuhkan.

 

Malah, katanya, perbelanjaan mengurus jabatan-jabatan tersebut juga meningkat sebanyak 144.06 peratus dalam tempoh 13 tahun (2008 – 2020).

 

“Peningkatan ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperluaskan dan meningkatkan perkhidmatan berkaitan agama Islam di negeri ini,” jelasnya.

 

Wujudkan sumber hasil baharu

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota turut mencadangkan beberapa langkah untuk meningkatkan hasil Kerajaan Negeri.

 

Antaranya pelaksanaan cukai bagi petak atau blok sementara berkuat kuasa pada 1 Januari 2019 lalu, yang mana anggaran kutipan selepas perlaksanaannya adalah sebanyak RM11,129,425 berbanding kutipan cukai tanah induk RM5,311,790 sekaligus dapat meningkatkan hasil dua kali ganda.

 

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan usaha meningkatkan kutipan tunggakan hasil dengan menubuhkan Pasukan Petugas Khas yang akan mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang terutama tunggakan cukai tanah dan sewaan di rancangan perumahan awam,” ujarnya.

 

Pengangkutan

Dalam isu pengangkutan, Kon Yeow memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri memandang serius isu perkhidmatan bas di Pulau Pinang malah bekerjasama dengan Rapid Penang untuk mengenal pasti masalah berkaitan.

 

Selain mengadakan perbincangan bagi menambah baik waktu operasi bas kini, Kon Yeow memberitahu bahawa hal-hal mengenai laluan di jalan-jalan utama berdekatan dengan kawasan sekolah dan cadangan pemberian subsidi tambahan kepada pelajar sekolah turut akan diteliti dengan lebih terperinci bersama-sama pihak Rapid Penang agar ia benar-benar memberi manfaat kepada kumpulan sasar.

 

Kerajaan Negeri juga sedang memantau dan menilai prestasi operasi bas bagi 12 laluan bas percuma CAT (Central Area Transit) serta mengadakan sesi Focus Group Discussion untuk mengenal pasti langkah penambahbaikan yang dijangka bermula secara berperingkat mulai tahun hadapan.

 

“Bagi cadangan penggunaan bas mini pula, ia sedang diperhalusi oleh Rapid Penang bersama-sama Prasarana Malaysia Berhad dan ujian percubaan laluan akan dilakukan selama tiga bulan sebelum pertimbangan dibuat kelak,” katanya.

 

Dalam sesi sama, Kon Yeow turut memaklumkan kesediaan Kerajaan Negeri untuk meneliti secara terperinci cadangan ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik untuk membina sebuah terminal bas di kawasan Seberang Perai Selatan.

 

“Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan ini dan akan meneliti dengan terperinci agar ia dapat memberi manfaat kepada penduduk di Seberang Perai Selatan dan kawasan sekitar,” ulasnya.

 

Peruntukan Pembangunan Kerajaan Negeri berkurangan 12 peratus bagi tahun 2020

Bagi tahun 2020, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyediakan peruntukan pembangunan berjumlah RM269.34 juta berbanding RM306.38 juta pada tahun 2019, iaitu pengurangan sebanyak 12 peratus atau RM37.04 juta setelah mengambil kira kepentingan serta impak kepada masyarakat.

PEGAWAI Kewangan Negeri, Dato’ Sarul Bahiyah Abu (dua dari kiri) menyerahkan buku Bajet 2020 kepada Ketua Menteri selepas sesi penggulungan petang tadi.

 

“Kerajaan Negeri tidak akan mengabaikan kebajikan rakyat Negeri Pulau Pinang dengan mengurangkan jumlah projek-projek pembangunan di negeri ini.

 

“(Dan) memandangkan pentadbiran Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan di bawah kerajaan yang sama, ia memberi sedikit kelebihan apabila peruntukan telah mula disalurkan semula kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

 

“Kerajaan Negeri amat menghargai peruntukan yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan dan berharap ia berterusan, malah meningkat lagi pada masa hadapan,” zahirnya yang mendapat ‘tepukan di meja persidangan’ sebagai tanda setuju dan sokongan penuh daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat lain.

 

Kon Yeow dalam pada itu memaklumkan bahawa di bawah Belanjawan 2020 Negeri Pulau Pinang, peruntukan pembangunan kepada kebanyakan jabatan adalah hampir sama atau meningkat berbanding tahun lalu.

 

“Kecuali penurunan peruntukan di bawah Pejabat Ketua Menteri, Pejabat Setiausaha Kerajaan (P01) dan Jabatan Kewangan Negeri (P16).

 

“Pengurangan ini setelah mengambil kira beberapa projek khas negeri yang telah dilaksanakan pada 2019 dan tidak ada keperluan untuk dibajetkan semula pada tahun 2020,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong.

 

Penjelasan tersebut juga sekaligus menjawab persoalan yang diutarakan oleh ADUN Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil berhubung pengurangan peruntukan pembangunan bagi tahun hadapan.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow turut memaklumkan kepada Dewan bahawa prestasi perbelanjaan peruntukan pembangunan tahun 2018 adalah berjumlah 69.23 peratus dan Kerajaan Negeri berjaya melaksanakan 99.40 peratus daripada projek dirancang.

 

“Pencapaian peratus pelaksanaan projek yang tinggi tetapi peratus perbelanjaan rendah ini dapat dicapai dengan mengambil kira kaedah perolehan secara tender terbuka dan telus selaras dengan dasar Cekap, Akauntabiliti, Telus (CAT) yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak 2008,” katanya.

 

Terdahulu, Kon Yeow merakamkan penghargaan kepada semua ADUN yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Belanjawan 2020 Negeri yang dibentangkan pada 1 November 2019.

 

“Saya berharap, sikap positif dalam memperlihatkan keprihatinan terhadap keluh-kesah rakyat di kawasan masing-masing akan terus berkekalan supaya amanah yang diamanahkan dapat dilaksanakan seikhlasnya,” zahirnya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : LAW SUUN TING