Amal pemanduan berhemah, elak kesesakan lalu lintas bertambah buruk, seru ADUN

JAWI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye menyeru pengguna jalan raya supaya mengamalkan sikap pemanduan secara berhemah semasa menggunakan laluan di sekitar bulatan Nibong Tebal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas bertambah buruk.

Mooi Lye berkata, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk setempat mengenai kesesakan lalu lintas terutamanya di Jalan Sungai Daun, di sini yang didakwa berpunca daripada projek menaik taraf jalan dan sistem saliran di bulatan ‘Kelip-Kelip Nibong Tebal’.

“Kesesakan jalan mampu dikurangkan sekiranya pemandu mengamalkan sikap berhemah dan bertolak ansur selain dapat mengelakkan berlakunya kemalangan jalan raya yang boleh memburukkan lagi keadaan lalu lintas di sini.

“Saya juga minta penduduk agar bersabar sepanjang projek dijalankan kerana apabila ia (projek) siap kelak kesesakan lalu lintas di kawasan ini khususnya Jalan Sungai Daun akan dapat dikurangkan,” ujarnya pada sidang media di sini, petang tadi.

Hadir sama, Jurutera Fasiliti Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Dr. Rahizuwan Hamid; Jurutera, Mohamad Kamal Mohd. Raudzi serta Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Heng Yeh Shiuan.

Mengulas lanjut, Mooi Lye memberitahu bahawa kerja-kerja menaik taraf jalan tersebut merupakan projek yang dilaksanakan Kerajaan Negeri sejak 2 November lalu melibatkan peruntukan berjumlah RM140,000 dan dijangka siap pada pertengahan Disember ini.

“Skop-skop projek pula adalah melibatkan kerja menaik taraf sistem saliran parit tanah kepada longkang konkrit dan pertambahan dua lorong dari penyambung jejambat Nibong Tebal ke bulatan melibatkan jarak sepanjang 35 meter.

“Selain itu, laluan masuk dari bulatan ke Sungai Daun juga ditambah kepada dua lorong melibatkan jarak sepanjang 70 meter, pertambahan dua lorong masuk ke bulatan dari jalan atas sepanjang 50 meter serta menaik taraf papan tanda lalu lintas di bulatan dan kawasan sekitar,” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD