47 penjaja penempatan semula Taman Nibong Tebal Jaya terima lesen

Admin

JAWI – Seramai 47 penjaja penempatan semula di Taman Nibong Tebal Jaya kini boleh menarik nafas lega apabila menerima lesen perniagaan daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), semalam.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, pemberian lesen berkenaan adalah sebahagian daripada program membantu peniaga-peniaga kecil yang tergolong dalam kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Kerajaan Negeri dan MBSP amat prihatin untuk membantu peniaga-peniaga ini. Kita cuba sedaya-upaya menyesuaikan antara kehendak peraturan dan membantu peniaga menjalankan perniagaan.

Rozali melakukan pemeriksaan suhu badan sebelum menyerahkan lesen kepada penjaja terlibat.

“Sebanyak 55 petak telah dikenal pasti untuk menempatkan semua penjaja tanpa kebenaran di dalam sekitar taman ini dan seramai 47 peniaga telah menjalankan perniagaan di sini.

“Oleh itu, saya hadir sendiri bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan YB Jason (H’ng Mooi Lye) dan Ahli-Ahli Majlis untuk menyerahkan sendiri kelulusan berniaga sebagai tanda penghargaan MBSP kepada penduduk yang sentiasa menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam memutuskan rantaian COVID-19,” katanya kepada pemberita sebelum menyerahkan lesen kepada penjaja-penjaja terlibat.

Selain Mooi Lye, turut hadir pada program berkenaan adalah Ahli Majlis MBSP, Heng Yeh Shiuan dan Dr. Seow Kweng Tian.

Mengulas lanjut, Rozali turut menyeru kepada peniaga-peniaga agar mematuhi tatacara operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) khususnya berkaitan jarak sosial satu meter.

“Peniaga tidak boleh membiarkan pengunjung bersesak-sesak di kaunter perniagaan mereka selain perlu melakukan pemeriksaan suhu badan dan paling penting adalah mengimbas kod QR PGCare.

Keadaa penempatan semula penjaja di Taman Nibong Tebal Jaya.

“MBSP juga telah mengeluarkan info grafik berkaitan SOP bagi pasar pagi, pasar malam dan bazar ria. Oleh itu, semua peniaga perlu mematuhi SOP berkenaan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Mooi Lye menzahirkan ucapan penghargaan kepada pihak MBSP kerana berusaha membantu peniaga-peniaga kecil kembali menjalankan perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Justeru, saya minta agar semua penjaja mematuhi SOP ditetapkan bagi mengelakkan pembatalan kelulusan yang diberikan ini,” tegasnya.

Salah seorang peniaga, ROHAYA RAMLI, 49, ketika ditemui menyatakan rasa syukur dan gembira apabila penantian selama dua tahun untuk mendapatkan lesen akhirnya terlaksana.

Rohaya Ramli.

“Saya berniaga menjual nasi lemak di sini sudah dua tahun. Sebelum ini saya juga pernah memohon lesen untuk tetapi tidak diluluskan.

“Walaupun saya tidak berdepan apa-apa tindakan penguatkuasaan kerena berniaga tanpa sebelum ini tetapi dengan adanya kebenaran yang sah ini saya boleh menjalankan perniagaan tanpa rasa bimbang lagi,” katanya.

NORHAYATI SAMSUDIN, 59, pula memberitahu bahawa dia mula menjalankan perniagaan tanpa lesen di kawasan berkenaan sejak 12 tahun lalu.

Norhayati Samsusin.

“Saya berasa sangat gembira kerana selepas ini kerana saya sudah boleh berniaga menjual sate tanpa sebarang halangan.

“Sebelum ini saya pernah dikenakan kompaun sebanyak dua kali oleh MBSP tetapi saya tetap juga meneruskan perniagaan memandangkan ini sahaja sumber pendapatan yang ada,” ceritanya kepada Buletin Mutiara.

Seorang lagi peniaga, A. TERASARANI, 60, ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada MBSP, ADUN kawasan dan pihak-pihak terlibat yang membantu mendapatkan kelulusan bagi peniaga-peniaga penempatan semula di Taman Nibong Tebal Jaya menjalankan perniagaan secara sah.

“Sejak memulakan perniagaan lapan tahun lalu, kami memang ada lesen tetapi atas nama suami.

A. Terasarani.

“Apabila suami saya meninggal kira-kira setahun lalu maka saya mengambil alih perniagaan ini tetapi tanpa lesen daripada MBSP dan saya juga pernah diberikan amaran supaya menghentikan perniagaan sebelum ini.

“Sekarang saya berasa amat gembira kerana dapat menjalankan perniagaan tanpa apa-apa halangan lagi,” zahirnya.

Difahamkan, lokasi penempatan penjaja yang terletak di seberang jalan bermula dari bangunan No. 2 hingga bangunan No. 48 dekat susur Jalan Sungai Daun, Taman Nibong Tebal Jaya, Seberang Perai Selatan (SPS) itu dibenarkan berniaga dari jam 5:00 petang hingga 10:00 malam.

Para peniaga juga hanya dibenarkan menjual makanan sahaja dan penjualan minuman adalah tidak dibenarkan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD