48 wakil keluarga meninggal akibat COVID-19 terima bantuan

BATU MAUNG – Seramai 48 wakil keluarga di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Maung  yang meninggal dunia akibat COVID-19 menerima bantuan RM200 dan sumbangan hamper.

 

 

Sumbangan disampaikan oleh Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

 

 

“Jumlah ini (48) adalah yang dilaporkan kepada kita, kita faham mungkin ada yang tidak lapor, boleh tampil.

 

 

“Lanjutan daripada itu, Pusat Khidmat KADUN Batu Maung bersama-sama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat sedang mengumpul data-data pencari nafkah yang terkesan COVID-19 seperti alami kematian untuk dibantu.

 

 

“Saya juga tumpang berdukacita, ada yang hilang ibu dan bapa sekaligus, hilang ahli keluarga, saudara mara dan ini juga menjadikan mereka trauma,” ujar Abdul Halim ketika berucap menyampaikan bantuan kematian akibat COVID-19 di Dewan Orang Ramai Bukit Gedung petang tadi.

 

Tambah Abdul Halim, antara bantuan lain disediakan pusat khidmatnya termasuklah kaunseling percuma selain bantuan untuk dirujuk kepada agensi-agensi berkaitan.

 

 

Mengulas lanjut beliau turut mengingatkan orang ramai agar terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) sungguhpun Pulau Pinang sudah mencapai 80 peratus kadar vaksinasi populasi dewasa.

 

 

Antara kawasan lain yang turut mendapat bantuan sama hari ini adalah kawasan Sungai Ara, Sungai Tiram selain dari Bukit Gedung.

 

 

“Esok ada lagi kawasan-kawasan lain yang kita akan sampaikan bantuan sama.

 

 

“Ini merupakan sumbangan bagi kematian yang berlaku pada bulan Julai, Ogos dan September,” katanya lagi.

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI