500 penduduk KADUN Batu Maung dijangka jalani saringan hari ini

Admin

BATU MAUNG – Seramai 500 penduduk sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Maung dan Bayan Lepas dijangka menjalani ujian saringan di bawah program Penang Saring COVID-19 (PSC-19) hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)nya, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata bahawa program saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu menerima sambutan yang sangat baik daripada penduduk setempat.

Abdul Halim Hussain sedang menyaksikan proses saringan yang dijalankan oleh petugas kesihatan terhadap salah seorang peserta yang hadir hari ini.

Tambahnya, sehingga jam 9 pagi tadi, seramai 177 orang telah selesai menjalani saringan COVID-19 yang diadakan di perkarangan tempat letak kereta Pasar dan Kompleks Jalan Rajawali dekat sini.

“Di KADUN Batu Maung sahaja sehingga semalam, kita berjaya mendaftarkan seramai 350 penduduk untuk hadir menjalani saringan dengan keutamaan diberikan kepada golongan berisiko tinggi seperti warga emas, peniaga dan penjaja kecil serta pemandu e-hailing.

“Selain mereka yang telah mendaftar melalui Pusat Khidmat KADUN atau secara atas talian, penduduk juga boleh hadir secara ‘walk in’ dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang hari ini.

“(Dan) bagi memastikan proses saringan berjalan lancar dan teratur, seramai 50 kakitangan ditugaskan di sini untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

“Secara keseluruhannya saya sangat berpuas hati kerana program ini berjalan lancar dengan hanya memerlukan sekitar 15 minit bagi seorang individu menyelesaikan saringan,” katanya pada sidang media selepas memantau perjalanan operasi program berkenaan sebentar tadi.

Operasi saringan PSC-19 berjalan lancar dan teratur.

Abdul Halim yang juga Exco Perdagangan Industri & Pembangunan Usahawan berkata bahawa program PSC-19 merupakan sebahagian daripada langkah pencegahan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan penduduk Pulau Pinang sihat dan selamat.

“Justeru, adalah diharapkan agar penduduk di negeri ini dapat memberikan kerjasama sebaiknya dengan terus mematuhi prosedur operasi standar (SOP) ditetapkan bagi melandaikan kes jangkitan COVID-19,” serunya.

Difahamkan, program sama juga akan dijalankan di Sekolah Kebangsaan Padang Tembak pada esok (17 Julai).

Bagi yang berminat untuk menyertai program saringan PSC-19 boleh layari https://penangsaring.selangkah.my atau hadir ke pusat khidmat ADUN masing-masing selain menghubungi talian 04-650 5379 / 5683/5658/5730.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : LAW SUUN TING