5,000 keping pelitup mulut untuk diedar secara berkala – ADUN

Admin

BATU MAUNG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung Datuk Abdul Halim Hussain turun padang untuk menyerahkan 2,000 keping pelitup mulut kepada para pengunjung dan peniaga di Pasar Awam Bayan Baru pagi ini.

Abdul Halim ketika ditemui memberitahu, bahawa sebanyak 5,000 keping pelitup muka telah diperuntukkan dan bakal diedarkan kepada masyarakat setempat di DUN Batu Maung dari semasa ke semasa secara berkala.

“Pemberian pelitup mulut ini tidak hanya tertumpu di sekitar Bayan Baru sahaja kerana kami turut menyasarkan di kawasan-kawasan lain seperti Pasar Awam Batu Maung, Sungai Ara dan Bukit Gedung.

“Bahkan sebelumnya, kami turut menyerahkan pelitup mulut kepada mereka yang berada di barisan hadapan (frontliners) bertugas dengan bertungkus-lumus dalam menangani penularan jangkitan wabak COVID 19 ini.

“Memandangkan masih terdapat segelintir masyarakat yang tidak mempunyai pelitup muka sewaktu keluar dari rumah, maka saya rasa terpanggil untuk mengagihkannya secara percuma kepada mereka,” jelasnya yang juga Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan.

Dalam pada itu, beliau yang ditemani oleh wakil dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), turut meninjau keadaan pengoperasian pasar setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh Malaysia.

“Melalui pemerhatian selama seminggu di sekitar Bayan Baru dan Sungai Ara, kami dapati bahawa penduduk setempat sudah boleh dikatakan telah patuh 100 peratus saranan mengenai jarak sosial (social distancing).

“Sekiranya, jarak sosial di tempat-tempat awam sebegini boleh dikekalkan sehingga tempoh PKP tamat, nescaya bilangan kes COVID 19 setiap hari di Pulau Pinang mampu dikurangkan,” kata beliau.

Tambah beliau, masyarakat disarankan untuk lebih teliti dalam merancang pembelian barangan keperluan harian agar mereka tidak perlu keluar dan pergi ke tempat tumpuan orang ramai dengan kerap.

Oleh: SITI FATIMAH HUZAIDI

Gambar : CHAN KOK KUAN