51 keluarga mangsa ribut di Berapit terima bantuan segera daripada dua agensi kerajaan

HENG Lee Lee (tengah, hadapan) bersama sebahagian penduduk Kampung Baru, Berapit yang menerima sumbangan Bantuan Kecemasan di Pusat Khidmatnya baru-baru ini.

BERAPIT – Sehingga 15 April lepas, dua agensi kerajaan iaitu Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) telah memperuntukkan kira-kira RM34,350 bagi membantu 51 keluarga mangsa ribut di Kampung Baru, Berapit baru-baru ini.

 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee bantuan kecemasan lain juga akan diberikan dalam masa terdekat setelah jumlah kerosakan yang dialami oleh rumah-rumah terlibat dinilai.

 

“Daripada jumlah bantuan tersebut, Pejabat Daerah dan Tanah SPT telah memberikan peruntukan RM23,000 dan JKM (RM14,350) kepada mangsa-mangsa ribut.

 

“Bagi memudahkan urusan penduduk-penduduk terlibat, pengumpulan permohonan sumbangan juga diadakan di Pusat Khidmat DUN Berapit,” ujarnya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan sejurus Majlis Penyampaian Bantuan Kecemasan tersebut baru-baru ini.

 

Dalam pada itu, Lee Lee turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Skuad Khas Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang membantu serta memulihkan bekalan elektrik dengan cepat sejurus insiden tersebut.

 

“Ketika pihak lain sedang tidur pada malam kejadian, Skuad Khas MPSP, Bomba dan TNB bertungkus lumus memulihkan keadaan di lokasi-lokasi terlibat dan saya anggap mereka adalah wira yang tidak didendang,” ujarnya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADUN