51 klinik swasta bakal dijadikan PPV

Admin

PANTAI JEREJAK – Sebanyak 51 klinik swasta di negeri ini telah berdaftar dan bakal dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi meningkatkan bilangan fasiliti dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Pulau Pinang memerlukan lebih banyak perkhidmatan fasiliti vaksinasi swasta bagi mencapai sasaran 20,000 dos suntikan sehari.

“Diharap Kerajaan Persekutuan dapat meluluskan lebih banyak penyertaan klinik swasta untuk bersama-sama melaksanakan PICK demi mencapai sasaran 80 peratus populasi warganegeri yang perlu divaksinasi menjelang hujung Oktober ini.

“Sehingga semalam, kita (Pulau Pinang) telahpun mencapai 10,204 dos suntikan sehari, justeru untuk mencapai sasaran 20,000 dos sehari adalah memerlukan pusat vaksinasi yang lebih banyak,” ujarnya ketika mengadakan lawatan ke PPVGP (Pusat Pemberian Vaksin General Practitioner) di Klinik O2 di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin dan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Klinik O2, Dr. Koay Chun Hang.

Difahamkan, sehingga semalam, sebanyak sembilan klinik swasta telah memulakan perkhidmatan pemberian vaksin secara percuma kepada penerima yang dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera.

Menyedari kepentingan suntikan vaksin COVID-19, Kon Yeow memaklumkan bahawa masih banyak usaha perlu dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk meningkatkan pendaftaran penerima vaksin di Pulau Pinang.

“Sehingga kini, sekitar 800,000 populasi rakyat Pulau Pinang telahpun mendaftar.

“Vaksin ada, pusat fasiliti pemberian vaksin pun sudah dibuka, maka memerlukan usaha lebih untuk menyedarkan mengenai kepentingan mendapatkan suntikan vaksin kepada orang ramai iaitu dengan melakukan pendaftaran awal.

“Jika kita mampu melaksanakan suntikan 20,000 dos sehari, maka dalam tempoh sebulan setengah sahaja keseluruhan 800,000 pendaftar ini telah pun selesai divaksinasi.

“Maka, Kerajaan Negeri menyeru orang ramai untuk terus mendaftar sekali gus membolehkan Pulau Pinang mencapai imuniti kelompok iaitu kira-kira 1.34 juta populasi negeri di vaksin,” ulasnya.

Sebelum itu, Kon Yeow turut mengadakan lawatan ke PPV Hospital Pantai untuk melihat perjalanan proses vaksinasi di hospital berkenaan.

Hospital Pantai merupakan salah sebuah daripada tiga hospital swasta yang dilantik sebagai PPV Hospital Swasta (PPVHS) dan telah memulakan operasi mulai 7 Jun lalu.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Kon Yeow memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini sedang menunggu kelulusan daripada kementerian yang terlibat berhubung penyediaan PPV khas bagi sektor industri.

“Banyak sektor industri telah menyatakan minat mereka kepada kami (Kerajaan Negeri) mengenai hal ini, dan adalah diharapkan pihak kementerian berkaitan dapat meluluskan geran secepat mungkin supaya PPV dapat ditambah untuk mencapai sasaran 20,000 dos suntikan vaksin sehari,” serunya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai, Pan Wen Lek yang turut mengiringi Kon Yeow semasa lawatan itu memberitahu bahawa pihaknya telah mengemukakan permohonan untuk menambah jumlah dos harian vaksin iaitu daripada 100 kepada 200 dos sehari kepada pihak berwajib.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF & SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : CHAN KOK KUAN & ALISSALA THIAN