52 keluarga mangsa ribut di Berapit terima bantuan wang ihsan

Admin

BERAPIT – Sebanyak 52 keluarga mangsa ribut dari Kampung Baru, Berapit menerima bantuan wang ihsan yang disumbangkan oleh Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (NADMA).

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee dalam majlis yang dianjurkan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) dekat Dewan Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah, di sini pagi ini.

Menurut Lee Lee, NADMA bersetuju memberikan sumbangan berjumlah RM500 bagi setiap keluarga dengan kos keseluruhan berjumlah RM26,000.

“Selepas peralihan kerajaan pada Mei tahun lepas, Kerajaan Negeri telah mengadakan perbincangan bersama NADMA yang mana akhirnya mereka bersetuju menyumbangkan sebanyak RM500 kepada setiap 52 keluarga selepas membuat penilaian secara terperinci.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan kepada mangsa ribut Kampung Baru adalah sebanyak RM54,000 termasuk bantuan melalui Tabung Bencana TYT (RM15,600) dan Jabatan Kebajikan Malaysia (RM14,600)

“Saya rasa ini adalah kerjasama yang amat bagus selepas berlaku pertukaran kerajaan pada Mei tahun lepas berbanding dengan semasa bencana banjir besar pada 2017 yang mana mangsa banjir hanya mendapat RM250 sahaja daripada kerajaan Pusat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis berkenaan, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Lee Lee memberitahu bahawa terdapat lima lagi keluarga yang layak masih belum menerima bantuan wang ihsan tersebut ekoran kerja-kerja penilaian masih dijalankan.

“Bagi mangsa ribut yang mempunyai lebih daripada satu kediaman terjejas, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada APM untuk pertimbangan lanjut,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS