556 terima watikah JPWK, JBPP 379

Admin
1566d1bd 4166 470e a05a 8d90be7e3eb7 KETUA Menteri bersama-sama barisan pemimpin Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang merakamkan gambar kenangan dengan sekalian anggota Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) serta Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) Sesi 2024/2025 yang baru menerima watikah pelantikan masing-masing dalam majlis berkaitan di Wawasan Open University (WOU), Padang Kota di sini pada 3 Mac 2024.

GEORGE TOWN – Seramai 556 individu menerima watikah pelantikan sebagai ahli Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) sesi 2024/2025 manakala Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP, 379).

8098f77e 2f5b 420f 9739 15dc7123891e
KETUA Menteri

Sebelum menyampaikan watikah tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam ucapannya berkata bahawa pihaknya berharap kedua-dua lantikan jawatankuasa Lantikan yang berkuat kuasa sehingga Disember tahun hadapan dapat memainkan peranan secara menyeluruh ke arah pembangunan komuniti di negeri Pulau Pinang.

“Penubuhan kedua-dua jawatankuasa ini juga adalah selaras dengan gagasan Visi Penang2030 iaitu ‘Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara’ yang mana JPWK mahupun JBPP, kedua-duanya merupakan model yang signifikan dalam pembangunan Pulau Pinang sehingga kini.

“Teras-teras yang digagaskan dalam visi ini adalah sangat holistik dengan menitikberatkan penambahbaikan dalam pelbagai aspek terutamanya dalam institusi kekeluargaan yang merupakan unit asas dalam masyarakat,” jelasnya pada majlis berkaitan di sini pada 3 Mac 2024.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata bahawa partisipasi sekalian masyarakat dalam menganggotai JPWK dan JBPP pada hari ini sekali gus membuktikan kesungguhan mereka dalam merealisasikan Tema C Visi Penang2030 iaitu ‘Memperkasakan Rakyat Bagi Meningkatkan Penyertaan Masyarakat’.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan berharap sekalian anggota JPWK dan JBPP akan terus memainkan peranan peringkat akar umbi.

c2c62292 0ed3 4b41 bf67 e046be2f476a
ANTARA muka baharu dalam kalangan belia dan wanita yang menerima watikah pelantikan sebagai JPWK dan JBPP di sini tadi.

Berucap sebelum itu, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen memberitahu bahawa JBPP yang ditubuhkan pada 1 Mei 2022 telah berjaya menganjurkan 246 program serta memberi manfaat kepada 63,452 belia.

“Penubuhan JBPP ini mempunyai nilai yang tinggi dan penting bukan sahaja dalam pembangunan belia, malah pembangunan komuniti setempat,” ujarnya yang juga ADUN Padang Lalang.

Manakala, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim memberitahu bahawa pihaknya bangga kerana JPWK bagi tahun 2023 telah berjaya menganjurkan sejumlah 700 projek dengan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat.

“Prestasi ini adalah setanding dengan prestasi sesi-sesi sebelum ini.

“Sasaran kita untuk setiap KADUN (Kawasan Dewan Undangan Negeri) merekrut 50 ‘relanita’ pada tahun ini diharap tercapai melalui peluang-peluang yang disediakan,” ulasnya yang juga ADUN Sungai Pinang.

Turut serta, Exco Perumahan dan Alam Sekitar merangkap ADUN Perai, Dato’ Seri S. Sundarajoo; beberapa ADUN, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Dato’ Ong Bee Leng dan Pengurus Besar Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Dr. Gwee Sai Ling.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD