599 pelajar layak terima bantuan pendaftaran ke IPT, tanda penghargaan kejayaan anak-anak Pulau Pinang

BERTAM – Seramai 599 pelajar dari Daerah Seberang Perai Utara (SPU) yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) dan politeknik di seluruh negara layak menerima Bantuan Pendaftaran Ke IPT bagi tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, sumbangan tersebut adalah sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap kejayaan dan kebijaksanaan anak-anak di negeri ini seterusnya menyokong mereka untuk terus maju pada masa hadapan.

Antara ibu bapa dan waris pelajar yang layak menerima Bantuan Pendaftaran Pelajar ke IPT yang disumbangkan Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri sentiasa menghargai warganya yang banyak menyumbang bakti dan menunjukkan kesetiaan serta kasih sayang terhadap negeri ini terutama golongan pelajar yang merupakan pelaburan jangka panjang,” ujarnya semasa berucap pada majlis berkaitan dekat Dewan Millenium semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Khaliq Mentab Mohd. Ishaq; Mustafa Kamal Ahmad (ADUN Teluk Air Tawar); Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Mohd. Ali Sebran; Pegawai-pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN); barisan ibu bapa serta para pelajar.

Difahamkan, penerima sumbangan melibatkan sembilan KADUN iaitu Bagan Dalam (43); Bagan Jermal (48); Bertam (78); Penaga (87); Permatang Berangan (76); Pinang Tunggal (72); Sungai Dua (95); Sungai Puyu (51) dan Teluk Air Tawar (49) dengan peruntukan berjumlah RM600,800.

Bagi pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT di Semenanjung Malaysia menerima sumbangan berjumlah RM1,000 manakala Sabah dan Sarawak pula (RM1,200) serta RM300 (peringkat politeknik).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS