60 sukarelawan PYDC hasilkan mural dasar MBPP sepanjang 48 meter

Admin
ANTARA inti mural yang menjelaskan dasar MBPP di sini.

GEORGE TOWN – Seramai 60 orang terlibat dalam menjayakan Program Blank Canvas : Mural Art di Kompleks Makanan Medan Renong dekat Padang Kota yang dianjurkan oleh agensi negeri, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) di sini.

SOON Lip Chee (tiga dari kiri) diiringi A. Rajendran (kanan sekali) dan dua lain semasa acara menandatangani plak Program Blank Canvas : Mural Art di Kompleks Makanan Medan Renong dekat Padang Kota di sini pada 14 Mei 2023.

Semasa merasmikan program tersebut, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata pihaknya merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran khususnya Jabatan Pelesenan kerana membiayai kos projek kesenian tersebut.

“Saya menghargai usaha mereka dalam memberi peluang kepada belia untuk menunjukkan bakat mereka dalam menghasilkan seni mural sepanjang 48 meter (m).

“Isi kandungan mural ini adalah mengenai dasar-dasar MBPP,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal dalam sidang media berkaitan di sini pada 14 Mei 2023.

Selain Rajendran, hadir sama, Pengarah Bahagian Pelesenan MBPP, Dr. Chin Wee Loon; Pengurus Besar PWDC, Dr. Gwee Sai Ling; wakil Persatuan Penjaja Kompleks Makanan Medan Renong, Abdul Razak Mohd. Hussain dan Amirul Helmi (artis mural bagi Program Blank Canvas ini).

Buletin Mutiara difahamkan Program Blank Canvas : Mural Art di Kompleks Makanan Medan Renong ini mula dilaksanakan sejak 3 Disember tahun lepas.

Sejak tahun 2021 hingga kini PYDC dengan beberapa rakan strategik tertentu berjaya menghasilkan lapan projek melukis mural dengan penglibatan 228 sukarelawan agensi negeri tersebut; antaranya di Taman Riang dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Jermal.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI